Tolak Parti Semenanjung: LDP Senada Dengan Shafie

ldp.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah tidak seharusnya meletakkan harapan mereka pada parti politik yang berasal dari Semenanjung Malaysia atau mereka yang Pro Parti Malaya.

Demikian kata presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin yang menganggap parti dari Semenanjung tidak mampu untuk memperjuangkan hak orang Cina.

Dengan itu LDP juga bersependapat dengan kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa nasib Sabah harus ditentukan sendiri oleh rakyat negeri ini.

Presiden LDP itu berkata, pada ketika ini semua parti politik tempatan harus menumpukan usaha untuk memperkuatkan jentera masing-masing bagi menentang parti dari Kerajaan Pusat.

“Pada masa lalu parti dari seberang sering mengeluarkan pelbagai kenyataan yang sering menyentuh mengenai sensitiviti kaum Cina.

“Parti Semenanjung yang berkuasa kini juga tidak mampu untuk memperjuangkan hak orang Cina dan tidak ada satu pun parti pemerintah memberikan sumbangan besar dalam perjuangan menentang usaha-usaha yang mengancam kedudukan masyarakat Cina,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Beliau berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh golongan politik lampau untuk menghakis hak asasi masyarakat Cina khususnya dari segi pendidikan dan sebagainya.

Katanya, pada zaman pemerintahan terdahulu, banyak sekolah pelbagai aliran telah dijadikan bahan kritikan oleh UMNO terhadap masyarakat Cina.

Katanya, pelbagai parti dari Semenanjung mencadangkan agar sekolah pelbagai aliran harus dimansuhkan.

“Jangan lupa walaupun terdapat anggota Kabinet Pusat yang bersifat perkauman khususnya pendidikan Cina.

“Tetapi secara diam-diam mereka juga menghantar anak masing-masing ke negara luar seperti China untuk mempelajari bahasa Mandarin kerana mereka tahu pentingnya penguasaan bahasa berkenaan,” katanya.

Katanya, usaha seumpamanya adalah tidak sepatutnya berlaku kerana ia mampu mewujudkan perpecahan dalam kalangan masyarakat, selain bercanggah dengan perlembagaan negara.

“Mereka sepatutnya tumpukan usaha untuk menguatkan jentera bagi memperjuangkan hak orang Sabah daripada dasar Kerajaan Pusat yang tidak adil terhadap Malaysia Timur.

“Ketidakadilan itu bukan sahaja dirasai masyarakat Cina tetapi juga kaum lain di sini,” katanya.

Beliau menyeru kepada masyarakat Cina di Sabah terus bertenang dan fikirkan perkara penting untuk mengubah status Sabah daripada gengaman parti dari Semenanjung Malaysia.

Katanya, LDP meninggalkan Barisan Nasional (BN) pada 2018 disebabkan sedar bahawa masa depan Sabah tidak dapat diubah oleh parti dari Semenanjung, sebaliknya perlu dibela oleh parti-parti tempatan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top