‘Tok Mat Tak Patut Sebut MA63 Baharu’, Kata Abang Jo

abang-johari.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg menyifatkan kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, berhubung memperbaharui Perjanjian Malaysia (MA63) tidak sepatutnya disebut.

Katanya, apa yang dikatakan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ hanya akan mengundang pihak tertentu mempersoalkan penubuhan Persekutuan Malaysia, sejak 59 tahun lalu.

Beliau berkata, MA63 adalah asas penubuhan negara dan sudah dipersetujui pemimpin terdahulu.

“Apa yang dicadangkan oleh Tok Mat sepatutnya tidak harus disebut. Ini kerana jika ia dilaksanakan, bermakna semua perjanjian terdahulu itu tidak sah, sekali gus penubuhan Persekutuan Malaysia juga dipersoalkan,” katanya menurut Berita Harian.

Abang Johari yang juga ADUN Gedong, berkata tuntutan Sarawak hanyalah untuk memastikan syarat-syarat termaktub dalam MA63 serta hasil ketetapan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) harus dilaksanakan, bukannya perjanjian baharu.

“Ia termasuk meneliti semula pemberian geran khas kepada Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Rundingan bagi menuntut perkara itu sedang berjalan.

“Kerajaan persekutuan sudah minta Sarawak mengemukakan nama wakil dalam IGC untuk ditempatkan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kalau Sarawak ada wakil dalam LHDN, kita tahu berapa sebenarnya pendapatan dari negeri ini (yang dibawa ke Persekutuan),” katanya.

Katanya, langkah itu membolehkan Sarawak menuntut semula sumber kewangan dalam bentuk pemberian khas, namun bukan bermakna negeri itu mahu memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan kerana memahami kedudukan kantung negara.

Pada 2 Jul, Mohamad ketika berucap merasmikan Konvensyen BN Sabah, mencadangkan pimpinan BN negeri itu mengusulkan MA63 baharu sebagai jalan ke hadapan yang lebih konkrit ke arah merealisasikan hak dan tuntutan negeri itu.

Beliau juga dilaporkan berkata, perjanjian baharu itu perlu ditunjangi semangat, konteks dan aspirasi baharu dalam memugar, seterusnya mengembalikan hak serta kepentingan Sabah, namun pada masa sama, menguatkan Persekutuan Malaysia. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top