Tok Mat Berpuisi Jawab Persoalan Kenapa Diamkan Diri

Tok-Mat_Zahir_20190218160853_bernama.jpg
Kongsi Bersama

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menjawab persoalan ramai pihak mengapa dia dilihat seakan-akan berdiam diri mengenai perkembangan politik mutakhir, khususnya melibatkan Umno.

Melalui beberapa rangkap puisi yang ditulis di Facebook, Mohamad melahirkan suara hatinya betapa Umno perlu diperkasa dan mengelakkan perpecahan.

Justeru Mohamad berkata dia memilih untuk bersikap membisu supaya ‘ribut’ dalam parti itu reda terlebih dahulu.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga memberikan bayangan bahawa ahli-ahli Umno boleh menentukan kepimpinan yang dikehendaki mereka pada pemilihan parti itu yang akan datang.

Antara bait puisi tersebut berbunyi:

Bila sampai masa pemilihan parti untuk dikota

Pilihlah nanti pemimpin kesukaan kita

Ketika itu tepuk dada tanyalah selera

Jika itu satu-satunyanya cara

Untuk tenangkan jiwa yang lara

Secara kebetulan, puisi itu ditulis Mohamad ketika desakan semakin kuat dari dalam Umno agar presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi berundur secara terhormat.

Ini sekali gus membuka tafsiran apakah timbalan presiden Umno itu bersedia mencabar Zahid bagi jawatan presiden pada pemilihan parti itu akan datang.

Ahad lalu, Ketua Penerangan Pemuda Umno Kuala Selangor, Aemirul Zaki dilaporkan berkata Zahid boleh berbuat demikian secara sukarela tanpa perlu menunggu pemilihan parti atau keputusan Perhimpunan Agung Umno.

Katanya, Zahid juga boleh berehat untuk menyelamatkan parti dengan menyerahkan kepimpinan kepada Mohamad sehingga pemilihan parti yang sepatutnya diadakan pada tahun ini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan desakan serupa oleh Ketua Pemuda Umno Pontian, Helmi Buang.

Gesaan sama turut disokong oleh Ketua Pemuda Umno Seremban, Zool Amali Hussin.

Untuk rekod Zahid pada 2018 pernah “bercuti” dan menyerahkan tugasnya,  termasuk jawatan sebagai pengerusi BN, kepada Mohamad yang juga timbalannya.

Ia susulan tindakan beberapa anggota parlimen Umno keluar parti serta kritikan bahawa Umno tiada hala tuju di bawah kepimpinannya selepas tewas pada pilihan raya umum 2018.

Berikut adalah puisi penuh Mohamad:

Ramai orang tertanya-tanya

Mengapa saya membisu seribu bahasa

Bagi saya, biarlah ribut ni reda

Saya tak mau menambah duka

Yang penting parti mesti diperkasa

PRU 15 kita nak jadi juara

 

Jika kita berpecah ramai yang seronok

Kita berkecamuk ramai yang gembira

Ayuh kita cari mana yang elok

Elakkan yang cela hilangkanlah lara

Susunlah langkah menuju hala

 

Pakat-pakatlah untuk bertenang seia sekata

Jangan parti berkecamuk dan bergelora

PRU15 mesti jadi keutamaan kita

Bila sampai masa pemilihan parti untuk dikota

Pilihlah nanti pemimpin kesukaan kita

Ketika itu tepuk dada tanyalah selera

Jika itu satu-satunya cara

Untuk tenangkan jiwa yang lara.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top