TKM Saran Pelajar Tumpu Bidang Kemahiran Selain Akademik

BUNG-SESB1.jpg
Kongsi Bersama

KINABATANGAN: Golongan pelajar diingatkan supaya mempunyai kesedaran untuk melengkapkan diri dengan kemahiran lain dan tidak hanya bergantung semata-mata kepada pencapaian akademik cemerlang untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, selain pencapaian cemerlang dalam bidang akademik pelajar juga perlu memberikan tumpuan kepada bidang-bidang kemahiran yang amat diperlukan untuk memasuki alam pekerjaan seiring dengan perkembangan semasa.

“Jangan ketepikan bidang teknik dan vokasional sebab bidang-bidang itu dapat menjadikan golongan pelajar sebagai modal insan berkemahiran tinggi, berinovasi serta mampu menghadapi cabaran alaf baharu yang relevan dengan keperluan semasa,” katanya ketika berucap merasmikan program Ceria Ke Sekolah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya seterusnya berkata, bidang teknik dan vokasional merupakan satu pilihan kepada aliran pembelajaran yang sedia ada.

“Jika pelajar kurang cemerlang dalam bidang akademik jangan mudah berputus asa sebab bidang kemahiran merupakan pilihan terbaik yang boleh mencorak masa depan bagi mencari bidang pekerjaan,” katanya.

Sehubungan dengan itu Bung berkata dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RM-12) kerajaan terus memperkasa bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dengan peruntukan sebanyak RM6 bilion.

Menurut beliau sebanyak RM300 juta disediakan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran atau PTPK iaitu peningkatan RM100 juta.

“Ibu bapa juga perlu memberikan galakan kepada anak-anak mereka untuk belajar dalam bidang kemahiran selain bidang akademik,” ujarnya.

Mengenai program tersebut, Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag berkata kerajaan mengalu-alukan kerjasama agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memajukan modal insan melalui pendidikan di negeri ini.

Beliau berkata sinergi pihak berkaitan menerusi perkongsian idea pintar dan bantuan yang lain mampu memaksimumkan kualiti pendidikan di negeri ini.

“Agenda membina daya insan adalah suatu usaha berterusan dan ia tidak akan berjaya sekiranya tiada kerjasama pelbagai pihak.” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top