TKM Ingatkan Pemimpin Masyarakat Agar Sering Turun Padang

Bung-2.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

BUKIT GARAM:Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin  mengingatkan pemimpin masyarakat di negeri ini supaya kerap turun padang menerangkan program dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Beliau berkata, ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 rakyat khususnya di kawasan luar bandar berhadapan dengan pelbagai masalah terutamanya dari aspek kebajikan mereka.

Oleh itu, katanya, pemimpin masyarakat terutamanya ketua kampung, jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK), pemaju mukim dan lain-lain perlu cakna kepada isu semasa dan segera menyalurkan maklumat kepada pemimpin atasan agar tindakan dapat diambil bagi membantu mereka yang terkesan dengan penularan pandemik tersebut.

Selain itu, tambah ahli parlimen Kinabatangan dan Adun Lamag itu, pendekatan tersebut bukan sahaja menunjukkan kesungguhan kerajaan membela nasib rakyat, tetapi juga boleh menangkis tuduhan yang dilemparkan pembangkang terhadap kerajaan.

“Pembangkang sekarang keluar masuk kampung beritahu rakyat akar umbi agar kepimpinan kerajaan harus diubah, walhal kita sekarang hidup dalam keadaan baik dan harmoni.

“Kita kena jaga negeri kita dengan baik. Jangan tersalah dengar cakap (pembangkang) sehingga kita akhirnya sedar keadaan sekarang lebih baik (berbanding di bawah kepimpinan pembangkang),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat pejabat Adun dan Parlimen yang baharu  di pekan baharu  Bukit Garam dan  seterusnya mengadakan perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan tersebut baru-baru ini.

Bung berkata pemimpin masyarakat juga perlu bijak menyampaikan program dan dasar kerajaan agar rakyat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

Katanya kerajaan sentiasa berusaha menjaga amanah rakyat dengan menyediakan pelbagai peluang agar kehidupan rakyat lebih sejahtera.

” Tugas dan tanggungjawab kita sebagai pemimpin masyarakat akar umbi bukan sekadar duduk di pejabat tapi perlu turun ke lapangan bagi mendapatkan maklumat yang tepat tentang apa juga isu rakyat, baik dari segi kebajikan mahupun pembangunan,” katanya

Bung turut berterima kasih kepada pemimpin masyarakat dan penjawat awam negeri serta persekutuan khususnya di kawasan itu  kerana memudahkan kerjanya sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

” Kita berkerja sebagai satu pasukan untuk membangunan kawasan ini dalam menyediakan prasarana dan meningkatkan ekonomi rakyat,” ujarnya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top