TKM Berpuas Hati Dengan Pelaksanaan Vaksinasi Di Sabah

bung-2.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri  Datuk Seri Bung Moktar Radin  berpuas hati dengan pelaksanaan proses vaksinasi yang sedang berjalan di negeri ini.

Katanya, sehingga ini  200,648 orang  telah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri Sabah sekurang-kurangnya dos pertama bagi fasa satu dan fasa kedua.

“Setakat ini kita nampak  peningkatan yang ketara bagi penerima vaksin di negeri ini dan kita berharap sasaran seramai 268,000 penerima vaksin  dapat dicapai bagi fasa kedua, ” katanya ketika ditemui di sini  sebagai mengulas perkembangan pemberian vaksin Covid-19 di Sabah.

Sebelum ini Bung yang juga Menteri Kerja Raya telah menyuarakan agar pemberian vaksin di negeri ini dipercepatkan, termasuklah dengan memberikan kebenaran kepada kerajaan negeri untuk membeli bekalan vaksin daripada Pharmaniaga, langkah  yang menurut beliau boleh mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah

“Setakat ini saya dimaklumkan sudah ada hospital swasta  di negeri ini yang melaksanakan program imunisasi COVOD-19 dan kita berharap lebih banyak lagi hospital swsata di negeri ini terlibat, ” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Bung  berharap kempen berterusan menjayakan  kempen vaksinasi  kepada rakyat  Sabah  diperhebatkan.

“Kita tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada pendaftaran melalui MySejahtera tapi kaedah lain perlu kita gunakan seperti pendaftaran melalui aplikasi  WhatsApp, pandu lalu dan juga pendekatan  seperti bergerak ke kampung-kampung kerana masih ramai rakyat khususnya di luar bandar dan pedalaman di negeri ini yang kurang memahami kebaikan menerima vaksin dan kaedah pendaftaran kerana kekangan komunikasi,” jelas Bung.

Menurut Bung  kempen keyakinan bagi memperjelaskan bahawa vaksin COVID-19 adalah selamat dan perlu diberikan kepada rakyat harus dijalankan oleh ahli politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang  termasuk pemimpin akar umbi  bagi menangkis sentimen dan propaganda kumpulan antivaksin.

“Banyak berita-berita palsu yang disebarkan di WhatsApp, laman sesawang dan sebagainya sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai untuk menerima vaksin perlu kita  tangkis,” ujar beliau.

Menurut Bung dengan adanya usaha berterusan daripada ahli politik kedua-dua belah pihak (kerajaan dan pembangkang) bukan hanya mendukung tetapi mempromosi  usaha program vaksinasi COVID-19 agar mencapai sasarannya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top