TKM Arah PKOB Siap Sedia Berikutan Cuaca Tidak Menentu

IMG-20220103-WA0022.jpg
Kongsi Bersama

Oleh Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU:: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin mengarahkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di seluruh daerah di negeri ini terutama di kawasan Kinabatangan diaktifkan 24 jam  berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Beliau berkata, ianya penting bagi memastikan segala persiapan dapat dirangka lebih awal sekali gus memastikan kelancaran operasi bersama agensi serta jabatan kerajaan berkaitan terutama dalam usaha membantu dan menyelamat.

Jelas beliau, ia juga bertujuan mengelak daripada timbul sebarang isu kelewatan gerakan operasi yang akhirnya hanya akan memberi kesan terhadap usaha-usaha menyelamat penduduk di kawasan yang berisiko tinggi.

“Saya minta seluruh PKOB di negeri ini terutama di kawasan Kinabatangan supaya melaksanakan persiapan awal dan rapi bagi memastikan perjalanan operasi berjalan dengan lancar.

“Perancangan yang rapi dan teratur dapat memastikan semua petugas serta aset-aset berkaitan dapat digerakkan bersama semasa operasi dijalankan sekali gus mengelak daripada sebarang kejadian yang buruk dan tidak diingini, hasil jalinan kerjasama padu semua pihak, ” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Bung yang juga Menteri Kerja Raya turut mengarahkan semua jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) di daerah masing-masing supaya memantau infrastruktur di bawah seliaan mereka berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Katanya, jalan raya yang berisiko termasuk bahagian cerun perlu dipantau bagi memastikan ia selamat digunakan oleh pengguna dan sekiranya terdapat tanda-tanda yang mencurigakan, jurutera perlu memaklumkan ke pihak kementerian untuk tindakan lanjut.

Tambah Bung, mana-mana kawasan yang berisiko haruslah diletakkan papan tanda amaran bagi memastikan pengguna jalan raya peka dan lebih berhati-hati di kawasan tersebut.

Beliau turut menasihati pengguna supaya tidak mengambil sebarang risiko terutama bagi kenderaan kecil untuk meredah air banjir walaupun kelihatan tidak deras kerana apa-apa kemungkinan boleh berlaku dalam sekelip mata.

“Pihak JKR akan sentiasa mengemaskini kedudukan keadaan jalan raya cerun dan jambatan yang terjejas dengan keadaan banjir yang berlaku sekarang,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top