PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini membenarkan rayuan Datuk Seri Najib Razak agar menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Panel tiga hakim dalam keputusan 2-1 memerintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar merit semakan kehakiman yang dikemukakan bekas perdana menteri itu.
Dua panel hakim mahkamah rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril bersetuju membenarkan rayuan Najib manakala pengerusi panel hakim, Datuk Azizah Nawawi menyampaikan keputusan tidak bersetuju.
Sebelumnya Firuz mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mencabar kewujudan Titah Adendum itu.
Menurutnya, setakat ini hujah yang dikemukakan adalah mengaitkan isu teknikal, perundangan dan bukannya menafikan kewujudan adendum tersebut.
“Saya sangat terganggu. Apa yang saya lihat adalah, kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara.
“Namun, tiada apa-apa kenyataan daripada Pejabat Peguam Negara untuk mengenepikan, atau mana-mana responden yang menafikan, kewujudan titah tersebut.
“(Disebabkan) ketiadaan tindakan untuk mencabar kewujudan titah itu, saya terganggu. Saya menyatakkan (ia wujud) tetapi kerana anda (pendakwaan) tidak menafikan kewujudannya bermakna anda mengatakan ia wujud. Itulah sebabnya. Saya tidak menyatakannya, tetapi saya terganggu,” katanya sebagaimana dilaporkan Awani.