KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing membangkitkan beberapa isu penting dalam ucapan kontroversinya yang menyerang Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Dewan Rakyat baru-baru ini, kata Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.
Beliau berkata, kenyataan Tiong harus dilihat dari sudut positif, bukannya mengecam beliau.
Bersuara bukan bermakna rakyat tidak menyokong atau menghargai pengorbanan dan kerja keras petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, kata Yong.
Kenyataan Tiong menunjukkan lebih ramai orang meluahkan kekecewaan yang semakin dirasai oleh rakyat secara terbuka.
“Ada kalanya kenyataan pemimpin dan orang atasan tidak sepenuhnya mewakili realiti perit di lapangan,” kata Yong.
“Petugas barisan hadapan tidak dibenarkan bersuara, justeru mereka berharap ahli politik seperti wakil rakyat bercakap bagi pihak mereka.”
Tiong menerima banyak kecaman susulan ucapannya pada Rabu yang antara lain mempersoalkan sama ada Noor Hisham “takut mati” akibat Covid-19 dengan menghindari aktiviti di lapangan di Sabah.
Yong berkata, “ada masanya orang ramai keliru dengan pelbagai jaminan yang diberikan oleh ketua pengarah kesihatan itu”.
Beliau antara lain memberi jaminan bahawa kemudahan kesihatan, peralatan perlindungan peribadi dan sumber manusia di Sabah adalah mencukupi, sedangkan ia dilihat bercanggah dengan pandangan individu di lapangan yang mendakwa ia tidak mencukupi.
Yong berkata, isu lain yang dibangkitkan oleh Tiong membabitkan debu mayat wanita yang dirogol dan dibunuh di Taiwan.
Beliau berkata, Tiong kesal kerana Kementerian Kesihatan pada mulanya bertegas mahu menempatkan keluarga mangsa di pusat kuarantin sekembalinya dari Taiwan walaupun mereka disahkan negatif Covid-19 di negara itu.
Yong berkata, pihak berkuasa harus menangani perkara seperti itu dengan hemah.
Katanya, kegagalan berbuat demikian akan mencetuskan protes fizikal seperti yang berlaku di Lahad Datu minggu lepas, apabila beratus-ratus penduduk mengadakan himpunan di sekatan polis bagi membantah lanjutan perintah sekatan pergerakan di kawasan itu.
Yong berkata, kekecohan berjaya dielakkan hanya apabila pihak berkuasa keselamatan dipaksa supaya mengumumkan penarikan balik perintah sekatan, yang menurutnya, “didesak oleh pihak berkuasa kesihatan walapaun ia berlawanan dengan pandangan pihak keselamatan dan pentadbir tempatan”.