Tinjauan Menunjukkan Rakyat Sabah Masih Cenderung Memakai Pelitup Muka

topeng-muka.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Walaupun memakai pelitup muka di luar rumah dan mengimbas kod QR MySejahtera tidak diwajibkan mulai 1 Mei, ramai penduduk di Sabah meneruskan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa sebelum ini.

Tinjauan Bernama di bandar ini semalam, yang merangkumi kawasan rekreasi dan tarikan hujung minggu seperti Jalan Gaya mendapati ramai orang masih menggunakan pelitup muka mereka walaupun berada di luar bangunan dan kawasan lapang.

Sementara itu, kemasukan ke pusat beli-belah berjalan lancar kerana pengunjung tidak perlu mengimbas kod QR MySejahtera di setiap premis walaupun termometer dan paparan kod Mysejahtera masih dipasang di luar setiap premis.

Seorang pengunjung, Romalus Wong, 45, berkata memakai pelitup muka sudah menjadi kebiasaan selepas diwajibkan selama dua tahun, sambil menambah walaupun tidak lagi wajib, dia memutuskan untuk meneruskan amalan itu memandangkan Sabah masih berdepan jangkitan COVID-19.

Asiah Adli, 30, yang berada di kawasan rekreasi Taman Awam Teluk Likas, turut menyuarakan pandangannya.

“Saya sudah terbiasa memakai pelitup muka sehingga berasa pelik tanpanya sekarang walaupun tidak lagi wajib menggunakannya di luar rumah,” katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pada 27 April bahawa pemakaian penutup muka berkuat kuasa 1 Mei tidak diwajibkan di luar bangunan dan di kawasan lapang tetapi ia masih terpulang kepada individu.

Khairy berkata, bagaimanapun, pelitup muka mesti dipakai di dalam bangunan dan dalam pengangkutan awam termasuk tunggangan e-hailing.

Beliau juga berkata pengimbasan kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera sebagai SOP daftar masuk ke premis itu tidak lagi diwajibkan.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata mulai 1 Mei, pelbagai kelonggaran SOP berkuat kuasa di seluruh negara selaras dengan peralihan kepada fasa endemik.

Beliau berharap semua rakyat akan terus mengamalkan sikap bertanggungjawab bagi memastikan jumlah jangkitan di Sabah kekal rendah.

Sempena sambutan Hari Pekerja semalam, Masidi berkata kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada semua pekerja khususnya petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus dalam memerangi wabak itu. — Bernama

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top