KOTA KINABALU: Usaha mencapai imuniti kelompok di Sabah mampu dijayakan sekiranya terdapat peningkatan dalam kemampuan pengurusan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Ketua Armada Bersatu Sabah Fairuz Renddan berkata, kerajaan negeri hari ini berusaha keras untuk meningkatkan lagi jumlah penerima vaksin COVID-19 setiap hari serta jumlah PPV termasuk di kawasan pedalaman.
“Setakat 13 Jun lalu, seramai 249,945 daripada 2,932,700 penduduk Sabah telah menerima dos pertama vaksin.
“Dan kini, terdapat 72 fasiliti kesihatan serta 23 PPV awam yang beroperasi untuk membantu program imunisasi yang kini sedang rancak dijalankan kepada seluruh penduduk Sabah berusia 18 tahun ke atas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu juga memberitahu bahawa kerajaan negeri setiap hari berusaha mencari penyelesaian untuk menambahkan PPV serta jumlah vaksin.
“PPV akan dibuka lebih banyak dan pendaftaran jangkau luar komuniti juga diluaskan.
“Selain itu, penghantaran bekalan vaksin ke Sabah juga konsisten dan vaksin-vaksin yang kita terima adalah Pfizer BioNTevh, Sinovac dan AstraZeneca,” katanya.
Dalam pada itu, Fairuz turut menyeru semua pihak untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan demi untuk memastikan kejayaan dalam memerangi COVID-19. – Utusan Borneo