Tingkatkan Peruntukan Pembangunan Untuk Sabah, Sarawak Demi Tepati Konsep Rakan Setara – STAR

stephen-teo-STAR.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) meminta pelbagai kementerian Persekutuan meningkatkan peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak berikutan agihan Bajet 2022 tidak menepati konsep rakan setara.

Naib Presiden STAR, Kapitan Stephen Teo berkata, peningkatan peruntukan pembangunan peringkat kementerian untuk dua negeri itu akan dapat membantu memperbaiki kemudahan asas di pelbagai kawasan.

“Peruntukan kewangan yang amat sedikit menyebabkan kedaifan kemudahan asas di Sabah termasuk di kawasan Sepanggar yang terletak dalam kawasan perkadaran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK),” kata Stephen yang juga Ketua Bahagian STAR Karambunai.

Stephen seterusnya memetik gambaran kedaifan tersebut seperti yang dinyatakan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Ahli Parlimen Keningau dalam perbahasan Bajet 2022 seperti berikut;

“Sehingga 2020, Malaysia telah melalui 11 Rancangan Malaysia. Namun hakikatnya, lapan daerah termiskin di negara ini terletak di Sabah. Banyak kawasan, termasuk kampung-kampung sekitar 20 kilometer dari pusat bandaraya Kota Kinabalu masih tiada bekalan air terawat, jalan masih gravel, berhabuk di musim panas, berlumpur di musim hujan dan banjir kilat bila hujan lebat 3-4 jam”.

Stephen yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menegaskan, realiti di Sepanggar menunjukkan bekalan air masih menjadi masalah yang belum dapat diselesaikan.

“Malahan pembaikan kemudahan asas seperti jalan kampung, rekreasi, tempat berniaga, jeti dan jambatan perkampungan atas air memerlukan sumber kewangan yang lebih banyak,” jelas Stephen.

Sementara itu, Stephen yang memenangi jawatan Naib Presiden STAR tanpa bertanding mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden, pucuk pimpinan parti, ketua-ketua bahagian dan para perwakilan di atas kepercayaan yang telah diberikan kepadanya.

Stephen menerima tanggungjawab itu dengan tekad membantu parti dan negeri untuk memperoleh peruntukan kewangan yang lebih baik dari Kerajaan Persekutuan untuk Sabah.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top