Tindakan Keluar DAP Mungkin Untuk Elak Kesan Undang-Undang Antilompat Parti – Frankie

frankie.jpg

Datuk Dr Christina Rundi (left) and Datuk Frankie Poon Ming Fung (right) during the press conference on Monday.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua DAP Sabah Datuk Frankie Poon, menolak dakwaan kepimpinannya yang lemah menyebabkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggalkan parti.

Poon berkata, tindakan keluar parti dibuat ADUN Sri Tanjong Justin Wong dan ADUN Elopura Calvin Chong, dibuat mungkin disebabkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, dalam sesi Parlimen akan datang.

Peletakan jawatan kedua-dua ADUN berkenaan sekadar untuk berselindung sebelum RUU terbabit dibentang dan diluluskan, katanya.

Selain Wong dan Chong, turut sama mengumumkan keluar parti adalah bekas senator Adrian Lasimbang.

Poon juga mendesak Wong dan Chong berundur daripada kekal menjadi ADUN dan tidak menyalahgunakan mandat rakyat dengan mengisytiharkan mereka sebagai wakil bebas atau menyertai parti lain.

Poon berkata, beliau hairan dengan alasan dikemukakan kerana tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap dirinya sebagai ketua. “Saya langsung tidak mempunyai idea apa yang ingin mereka sampaikan,” katanya dalam kenyataan.

“Kami baharu sahaja dua bulan masuk dalam penggal baharu dalam jawatankuasa negeri dan mereka sudah tidak gembira? Penggal ini berlangsung selama tiga tahun…pastinya ia bukan alasan sebenar.”

Wong semalam, berkata punca keluar parti didorong kurangnya rasa keyakinan terhadap kepimpinan DAP Sabah, terutama Poon. Kepimpinan yang hilang arah tuju, persengketaan dalaman serius dan kurang berkomunikasi antara pemimpin, selain berpandangan parti tidak lagi berjuang untuk rakyat, menjadi alasan beliau berundur daripada DAP.

Poon berkata, beliau tidak pernah memberi teguran terhadap Wong, ADUN yang berkhidmat dalam penggal pertamanya, walaupun wujud “kekurangan”, terutama gagal hadir tanpa alasan kukuh dalam mesyuarat pertama jawatankuasa.

“Tahun lalu, saya ada berkunjung ke Tawau dan cuba bertemu dengannya bagi membincangkan apa sahaja isu yang dihadapi, tetapi beliau sukar sekali untuk dibawa berjumpa kerana melayan keluarganya makan malam,” katanya.

Poon turut menyangkal dakwaan yang mengaitkan DAP Sabah dengan perpecahan dalaman dan isu komunikasi.

Sebaliknya, dia berkata, Wong yang sering tidak hadir dan terlepas mesyuarat parti.

Poon seterusnya mendakwa Chong pula salah sendiri apabila gagal dipilih menganggotai Jawatankuasa DAP Sabah walaupun sudah mencuba beberapa kali.

Untuk rekod Lasimbang dan Chong kalah dalam pemilihan DAP Sabah yang diadakan pada Nov 2021.

Wong bagaimanapun memperoleh undi terbanyak dan dipilih menganggotai jawatankuasa itu. Dia merupakan anak kepada Jimmy Wong, iaitu bekas pengerusi DAP Sabah yang meninggalkan parti itu pada tahun lalu sebagai protes terhadap pemilihan.

Sementara itu, Poon berpendapat Wong dan Chong patut meletakkan jawatan mereka sebagai wakil rakyat kerana meninggalkan parti yang membawa mereka terpilih memasuki Dewan Undangan Negeri Sabah.

“Mana-mana Adun yang meninggalkan parti untuk menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai parti lain kemudiannya adalah melakukan kesalahan menyalahgunakan mandat rakyat.

“Jika mereka tidak berpuas hati, maka mereka harus meletakkan jawatan sebagai Adun yang dipilih. Itulah tindakan mulia untuk mereka dilakukan,” katanya.

Perkembangan itu menjadikan DAP kini mempunyai hanya empat Adun di Sabah iaitu Poon (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas).

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top