KOTA KINABALU: Pengumuman bekas Ketua Wira Sepanggar, Jumardie Lukman bersama dua Ahli Jawatankuasa Bahagian (AJK) lantikan dilihat tidak memberikan impak besar kepada parti Warisan di kawasan Sepanggar.
Ketua Penerangan Warisan Sepanggar Azhar Matussin berkata, sebahagian yang hadir semasa majlis pengumuman Jumardie itu menyatakan bahawa mereka dijemput hadir tanpa dimaklumkan tujuan sebenar majlis tersebut.
“Kenyataan mendakwa ketua kampung serta beberapa bekas pemimpin masyarakat mengikut langkah keluar parti lebih kepada gimik politik yang cuba mengelirukan rakyat.
“Mereka mendakwa Jumardie cuba memujuk agar mereka menyertainya namun beberapa pemimpin masyarakat menolak pelawaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau berkata, pengumuman itu juga langsung tidak memberikan kesan besar kepada parti kerana Jumardie selama ini lebih gemar melakukan gerak kerja sendiri tanpa memaklumkan kepada barisan AJK Wira Sepanggar.
“Tidak banyak program dilakukan atas kapasitinya sebagai Wira Sepanggar. Jika ada hanya gambar beliau secara individu di samping memuat naik gambar berulang-ulang bertujuan mempromosikan diri sendiri.
“Lebih mengejutkan mesyuarat Wira Sepanggar pun jarang diadakan, sebaliknya Jumardie lebih gemar melakukan bekerja sendiri tanpa memaklumkan kepada Timbalan Wira atau AJK Wira,” katanya.
Azhar berkata ketika Pilihan Raya Negeri (PRN16) lalu, Jumardie gagal menggerakkan Wira Sepanggar untuk menjadi jentera parti yang berkesan sekali gus hanya bergerak ke lokasi tertentu untuk mempromosi diri.
“Kita boleh katakan Jumardie ini tiada mempunyai wawasan sebagai seorang pemimpin. Keberadaannya dalam Warisan sebelum ini pun tidak memberikan impak. Dia lebih self-centered….hanya fokus jadi calon pilihan raya.
“Semua tahu Jumardie bukan orang Sepanggar….beliau tidak pernah berkongsi asal usulnya termasuk tidak pernah mengajak AJK untuk bertandang ke rumahnya. Semua Wira Warisan sangat keliru akan status kedudukannya,” katanya.
Azhar menambah, dengan ketiadaan Jumardie sudah tentu akan memberi ruang kepada Timbalan Wira Julius Junior Gala untuk menyusun semula Wira Warisan Sepanggar yang sudah sekian lama terumbang ambing.