Tindakan Ebit Liew Bantu Gereja Di Lahad Datu Dipuji

ebit.jpg
Kongsi Bersama

Pengguna media sosial memuji tindakan pendakwah bebas dan dermawan, Ebit Lew mengetepikan perbezaan agama dengan menyumbang barang keperluan kepada sebuah gereja di Lahad Datu, Sabah, dua hari lalu.

Dalam catatan Facebooknya, Lew berkata, beliau mengunjungi Gereja Katolik St Dominic dan bertemu Pastor Simon, ketua paderi di gereja tersebut.

Katanya, beliau cukup terharu apabila diberitahu paderi itu mengenalinya.

“(Kami) berbual betapa pentingnya kasih sayang dan berkongsi kebaikan. Walau berlainan agama, kita sebuah keluarga.”

Lew turut bermurah hati menyumbang 100 set makanan, 10 kerusi roda dan pelitup muka kepada gereja berkenaan.

Catatannya itu setakat ini menarik lebih 225,000 tanda ‘suka’, 13,000 komen termasuk ucapan terima kasih serta pujian dan dikongsi 27,000 kali.

“Dia adalah yang terbaik dalam kalangan rakyat Malaysia. Sangat merendah diri,” kata seorang pengguna media sosial, Vasanthi Shanthi.

Sementara itu, Fileny Nita menggambarkan Lew “satu dalam sejuta” kerana sudi menolong semua orang tanpa mengira agama.

Kunjungan Lew ke gereja tersebut sebahagian daripada misi kemanusiaan 10 hari untuk membantu golongan kurang bernasib baik di Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna di Sabah.

Beliau disertai sepasukan 18 orang, yang diterbangkan ke Sabah dengan tiket kadar istimewa oleh Malaysia Airlines.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top