KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah melalui Jabatan Air Negeri telah mengambil tindakan proaktif terhadap masalah bekalan air bukan sahaja di Pantai Barat tetapi di seluruh Sabah, kata Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya itu berkata demikian ketika menjawab ucapan penangguhan ADUN Luyang Phoong Jin Zhe pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada Selasa.
Beliau turut berkongsi lima projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan untuk menangani isu itu.
Projek menambah kapasiti Loji Rawatan Air Telibong II daripada 80JLH kepada 160JLH termasuk saluran paip utama dan tangki simpanan di Tuaran kini dalam pembinaan. Projek yang menelan belanja RM419,742,066.57 itu dijangka siap pada 26 April 2023.
Di Tawau, projek pembinaan empangan untuk membekalkan air yang menelan kos RM450,498.893 dijangka siap pada 25 Januari 2024.
Di Lahad Datu, projek menaik taraf sistem bekalan air yang menelan belanja RM264,988,000 dijangka siap pada 25 Jun 2023.
Sementara itu, pembinaan Sistem Bekalan Air Kota Marudu (RM42,785,000) dan Sistem Bekalan Air Kundasang (159,000,000) dijangka siap tahun ini.
“Sejak saya mengambil alih Kementerian Kerja Raya, bersama-sama Jabatan Air kita telah mengambil tindakan proaktif dalam isu ini, antara lain kita telah mengadakan dua perbincangan menyeluruh, tiga bengkel yang telah membentangkan tiga kertas kabinet berkaitan isu itu, yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri.
“Justeru, ketika ini kementerian sedang dalam proses akhir untuk melantik perunding bertauliah bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mereformasi industri perkhidmatan air Sabah.
“Kementerian akan membentangkan hasil kajian ini kepada mesyuarat Kabinet sekali lagi untuk kelulusan supaya kita dapat menyelesaikan isu kekurangan air secara menyeluruh bukan sahaja di Pantai Barat tetapi seluruh negeri Sabah,” katanya.
Dalam sidang itu, Bung turut berkongsi 11 lagi cadangan projek bagi menangani isu kekurangan air di Pantai Barat.
Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Urgent (UWSS) Telibong II (10 JLH) di Tuaran yang sedang dalam pembinaan dengan kos keseluruhan RM25,520,000.
SK Nexillis di Zon Perindustrian KKIP 9 (RM2,255,000), Kerja Pembaikan tangki KKIP R17A, B dan KA1, berkapasiti 10 juta liter setiap tangki (RM4,600,000) dan Program NRW Kota Belud Fasa IV (RM8,000,000) juga dalam pembinaan.
Program NRW Tuaran Fasa IV (RM3,378,657.35) kini dalam kerja pembinaan awal.
Sementara itu, Projek Pemulihan, Pemantauan, Penyelenggaraan dan Kawalan Kebocoran Aktif NRW di Kota Kinabalu (RM8,564,020) masih menunggu kelulusan.
Pembelian lori tangki air baharu, dengan kos RM5,400,000 juga dalam status Fasa 1, di mana kerajaan telah membeli lima unit daripada 16 unit yang dirancang.
Pembelian dan pemasangan tangki 1.6ml baharu di Taman Bandar Sierra (RM4,500,000) sedang dalam peringkat reka bentuk dan dijangka dibuka untuk tender menjelang September tahun ini.
Projek mengawal aktiviti saluran paip haram (RM5,250,000) kini berjalan mengikut jadual dan sudah meliputi pusat bandar, Tuaran, Papar, Tamparuli dan Kota Belud.
Bung juga mengemas kini Program NRW Papar Fasa IV (RM1,500,00) kini dalam fasa perolehan, manakala Kajian Kebolehlaksanaan dan Reka Bentuk Terperinci Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa 3 (RM4,600,00) kini dalam kajian konseptual.
“Beri saya dan kementerian peluang, ruang dan masa untuk melaksanakan segala perancangan yang sedang kita usahakan.
“Percayalah, kita tidak pernah berhenti berusaha untuk menyelesaikan masalah air yang diwarisi selama ini.
“Kami juga mahukan penyelesaian yang lengkap, sekali untuk semua. Semoga rakyat kita tidak lama lagi dapat menikmati perkhidmatan bekalan air yang sempurna,” katanya.