KLANG: Kos tiket penerbangan mahal dan isu penghantaran pulang jenazah masih menjadi kekangan utama dihadapi rakyat Sabah yang menetap di Semenanjung, lapor Kosmo!
Masalah sejak sekian lama itu ternyata terus menjadi beban terutama bagi mereka yang bermaustatin dengan hanya berpendapatan rendah.
Menurut Kosmo! mantan Ahli Parlimen Belia Malaysia Sabah, Faisal Mohidin berkata, hampir 500,000 rakyat Sabah berada di seluruh Semenanjung setakat ini dengan dua isu kerap diluahkan untuk segera diselesaikan kerajaan.
“Tiket penerbangan yang mahal atau tinggi antara punca anak Sabah tidak pulang ke kampung halaman kerana kurang mampu untuk membelinya.
“Selain itu, mereka berdepan kesulitan menghantar jenazah pulang ke Sabah untuk dikebumikan berikutan faktor kos dan prosedur tertentu,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Majlis Santai Merdeka dan Jelajah Prihatin Rakyat Sabah 2022 di Pandamaran di sini, pada Ahad.
Pada program itu, seramai 30 anak tempatan negeri berkenaan yang bermaustatin di Selangor menerima sumbangan barangan keperluan asas.
Jelas Faisal, kerajaan perlu memperhalusi semula mekanisme terbaik bagi menyelesaikan permasalahan itu.
“Kita cuma mahu memastikan nasib dan kebajikan rakyat Sabah terus terbela terutama selepas pandemik Covid-19. Isu peluang pekerjaan juga perlu terus dititikberatkan bagi mengelak berlaku isu pengangguran,” ujarnya yang akan menemui Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam tempoh terdekat. – KOSMO!ONLINE