Tiga penjuru di PRK DUN Pelangai

DUN-Pelangai.jpg

Calon bagi PRK DUN Pelangai (dari kiri) Amizar, Kasim Samat dan Haslihelmy ketika nama diumumkan di pusat penamaan calon di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul. (Foto: Bernama)

BENTONG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

Mereka terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dari BN; Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas yang akan menggunakan simbol kereta.

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus PRK DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail di Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, jam 10.16 pagi ini.

Mohammad Shahid memaklumkan Amizar, 53, yang diiringi seorang pencadang dan penyokong menyerahkan borang pencalonan jam 9.01 pagi diikuti Kasim, 63, seminit kemudian dan Haslihelmy, 36, pada 9.08 pagi.

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam pada 6 Oktober dengan pengundian awal pada 3 Oktober.

PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, bulan lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top