Tiga lemas, tiga masih hilang dalam kejadian kepala air di Lahad Datu

kepala-air-lahad-datu.jpg

Kredit foto: Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu

Kongsi Bersama

LAHAD DATU: Tiga lemas, sembilan berjaya diselamatkan manakala tiga lagi individu masih hilang dalam kejadian kepala air di sungai di kawasan Lembah Maksina, Makuau, Tungku dekat sini malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah berkata mayat mangsa iaitu seorang lelaki, seorang wanita dan satu lagi belum dikenal pasti ditemukan tertimbus di bawah kayu balak awal pagi tadi.

“Operasi mengeluarkan mayat mangsa sedang giat dijalankan pada masa ini,” katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata kesemua mangsa sebelum itu menjalankan aktiviti meredah sungai dan maklumat awal yang diterima terdapat 17 individu terlibat dengan aktiviti itu, namun dua daripadanya keluar lebih awal sebelum kejadian kepala air.

“Kami menerima panggilan kecemasan berhubung perkara itu pada 8.28 malam tadi dan seramai 11 pegawai serta anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 55 kilometer dari bandar Lahad Datu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurutnya operasi mencari dan menyelamat mangsa diaktifkan sebaik tiba di lokasi dan sembilan individu berjaya diselamatkan pada 12 tengah malam tadi dengan dua daripadanya cedera.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan pada 6 pagi selepas ditangguhkan pada 1.40 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. — BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top