KOTA KINABALU: Tiga legenda bola sepak Sabah, Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani dan Matlan Marjan dipilih sebagai ikon Akademi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Pengarah Akademi SAFA, Azman Mastar, berkata ketiga-tiga bekas pemain kebangsaan itu masing-masing dijadikan ikon bagi kategori bawah 16 tahun (B-16), B-14 dan B-12.
“Pemilihan ketiga-tiga pemain legenda itu adalah sebahagian usaha SAFA untuk mengenang jasa mereka dalam bola sepak di Sabah dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
James dan Hassan bergandingan ketika membawa kejayaan kepada skuad negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik pada 1980 selepas menewaskan Korea Selatan 2-1.
Matlan pula pernah menjadi ketua pasukan skuad kebangsaan ketika menentang England dalam satu perlawanan persahabatan yang berkesudahan 2-4 pada 1991, menyaksikan dia menjaringkan kedua-dua gol negara.
Azman berkata Akademi SAFA yang akan dilancarkan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, Sabtu ini bakal diperluaskan ke lapan zon persatuan itu yang membabitkan 32 daerah di negeri ini.
“Sebaik sahaja dilancarkan, akademi yang membabitkan pelatih bawah 12 tahun, 14 tahun dan 16 tahun akan turut diwujudkan di peringkat zon persatuan itu dan seterusnya ke daerah-daerah.
“Kita melancarkan akademi bola sepak ini di ibu negeri namun SAFA akan memperluaskan di semua zon yang membabitkan 32 daerah,” katanya.
Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA, berkata perancangan untuk mewujudkan akademi berkenaan dibuat dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jabatan Pendidikan Negeri sebelum ini. – BHarian