KOTA KINABALU: Didik, bimbing dan pimpin adalah tiga langkah yang harus dijadikan asas perubahan kepada politik moden, demikian kata bekas menteri persekutuan, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak (SSK).
Menurut beliau, ketiga-tiga langkah itu wajar diberi penekanan dalam menggerakkan perubahan politik.
“Politik perlu berubah mengikut kesesuaian masa dan pengundi memerlukan perubahan kepada jenis politik yang sesuai untuk rakyat ketika ini,”catat beliau di Facebook.
Memperincikan apa yang dimaksudkan oleh beliau, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, didik bermaksud, ‘kita mendidik tentang peribadi diri, nilai dan motivasi kita kepada para pengundi. Dalam hal ini, komunikasi dan ketelusan kita mempengaruhi tanggapan orang awam.’
“Bimbing bermaksud kita bimbing pengundi mengenai pelan kita sama ada jangka pendek atau panjang. Pokoknya, beri hujahan dan keyakinan mengapa pengundi harus memilih kita,” tulis beliau.
Salleh berkata, pimpin pula bermaksud usaha memimpin komuniti pada setiap masa di mana seorang pemimpin tidak menunggu dipilih, dia akan memimpin walau apa terjadi kerana kepimpinan itu amanah untuk berkhidmat.
Tambah beliau, Barisan Nasional (BN) diyakini akan terus teguh dan dapat menjamin masa depan negara selepas dilihat banyak menerapkan gaya politik moden dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
“Dalam PRN Melaka kita lihat BN sudah banyak menerapkan gaya politik moden. Saya yakin BN akan terus teguh dan dapat menjamin masa depan Malaysia yang makmur,” katanya.