Tiga Ketua Pemuda Yang Sama Gopoh, Sama Gelojoh

moratorium1.jpg

1.Malam tadi kerajaan umumkan pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ selama dua minggu bermula 1 Jun ini.

2. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu kerajaan turut menyebut Kementerian Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan.

3. “Pengumuman mengenai pakej bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.

4. Dan pagi ini Malaysiakini melaporkan tiga ketua pemuda dari Umno, Amanah dan PKR menggesa kerajaan agar mengumumkan pakej bantuan khas termasuk moratorium pinjaman bank kepada rakyat susulan pengumuman ‘total lockdown’ itu.

5. Itulah cara sebahagian ahli politik Malaysia bekerja.Tak habis-habis dengan budaya cari nama dan berlagak menjadi wira. Apa sahaja yang boleh dipolitikkan, mereka akan mempolitikkannya sampai ke tulang sum-sum.

6. Mereka boleh membuat kenyataan itu sepantas mungkin jika kenyataan PMO malam tadi sekadar menyebut tentang ‘lockdown’ tetapi tidak menyatakan apa-apa hasrat untuk memberi bantuan kepada rakyat.

7. Mereka juga boleh berbuat demikian jika selepas beberapa hari hasrat untuk membantu rakyat itu diumumkan tetapi kemudian kerajaan diam dan senyap sunyi.

8. Ini tidak, baru kira-kira 12 jam pengumuman dibuat mereka telah berebut-rebut membuat gesaan. Nampak sangat gopoh dan gelojoh.

9. Politik murahan seperti ini patut dihentikan lebih-lebih lagi dalam keadaan seperti sekarang. Jangan timbulkan persepsi seolah-olah kerajaan hanya pentingkan lockdown, tetapi tidak mempedulikan kebajikan rakyat. Perlu diingat, orang kita bukan rajin sangat membaca atau mendengar sesuatu dengan teliti. Mereka mungkin tahu tentang lockdown, tetapi tidak tahu apa-apa tentang rancangan kerajaan untuk pembantu. Jadi bila bantuan itu diberi mereka mungkin menyangka ia adalah kerana ‘perjuangan’ puak yang gopoh dan gelojoh tersebut.

10. Lagipun kalau setakat membuat desakan tentang bantuan, moratorium, subsidi upah, I-Sinar, I-Lestari dan seumpamanya tak payahlah sembang kencang. Sesiapa pun boleh buat desakan seperti itu. Budak darjah tiga pun boleh.

11. Sepatutnya sesuai dengan kedudukan selaku ketua pemuda parti-parti yang hebat, mereka tampil dengan idea-idea yang hebat. Kemukakan cadangan-cadangan baharu yang boleh meringankan beban rakyat, tetapi tidak pula membebankan kerajaan. Tunjukkan kepada kerajaan bagaimana hendak menjana hasil apabila sebahagian besar sektor ekonomi mengalami penutupan penuh. Cadangkan kepada rakyat bagaimana mencari sumber baharu apabila sumber pendapatan sedia ada terjejas.

12. Contohilah Dr Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) bekas timbalan menteri kesihatan dalam kabinet Pakatan Harapan yang sentiasa tampil dengan pandangan dan idea bernas untuk membantu kerajaan dalam peperangan menghadapi Covid-19 ini, tanpa mencampur-adukkannya dengan unsur-unsur politik. Kalau ada pun kenyataan yang berunsur begitu, ia hanya disebabkan oleh keadaan yang benar-benar perlu. Carilah kenyataan-kenyataannya, baca sendiri dan anda dapat menilai keikhlasannya. Mungkin kerana dia berpolitik bukan kerana nama.

 

Oleh: Tulus Budiman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top