KINABATANGAN: Tiga kemalangan yang mengakibatkan dua maut dan 14 cedera berlaku di Jalan Paris Satu, Kampung Paris di sini dalam tempoh dua hari berturut-turut.
Tengah hari semalam melibatkan seorang wanita yang memandu sebuah Perodua Myvi yang bertembung dengan lori pembancuh simen 20 tan.
Warta Oriental melaporkan, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri dalam satu kenyataan memberitahu, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima melalui talian MERS999 pada jam 12.03 tengah hari Khamis.
Komander Kanan Operasi, Nurul Azlan Shah Jamaluddin dan Komander Operasi, Sutijo Haji Salamat bersama empat lagi anggota dan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) telah ke lokasi kemalangan sejauh 41 kilometer bersama satu aset bomba.
Kejadian membabitkan sebuah kereta Myvi yang mana, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Tiada sebarang maklumat mengenai identiti mangsa diperolehi.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis.
Operasi tamat pada jam 2.48 petang.
Sebelum itu, pada kira-kira pukul 7.30 pagi, seorang wanita maut manakala lapan mangsa cedera apabila kenderaan dinaiki terbabas di bahu jalan juga di Jalan Paris Satu, Kampung Paris.
Manakala petang kelmari, pada jam lebih kurang 3 petang, 6 cedera dengan dua daripada mereka parah dan dua yang lain terselamat dalam satu kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan juga di jalan yang sama.
Sumber: Warta Oriental