KOTA KINABALU: Hasrat murni dua kanak-kanak perempuan menyelamatkan seorang rakan yang terjatuh ke dalam parit berakhir dengan tragedi apabila ketiga-tiga mereka ditemukan lemas dalam parit di Kampung Bunga Raya Kapayan pada Isnin lalu.
Ketiga-tiga kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia lima hingga 12 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) I dan HQE II, kira-kira jam 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga kanak-kanak itu tergelincir lalu terjatuh ke dalam parit semasa sedang bermain di tebing parit berkenaan.
Lokasi kejadian terletak kira-kira 200 meter dari rumah kesemua mangsa yang mempunyai hubungan keluarga tinggal berjiran di kawasan setinggan di Kampung Bunga Raya tersebut.
Semasa kejadian, kedalaman air kira-kira empat hingga lima kaki kerana kejadian air pasang.
“Ketiga-tiga mangsa dikatakan keluar bermain di tebing parit sebelum salah seorang daripada mereka tergelincir lalu terjatuh ke dalam parit yang mempunyai air yang dalam.
“Susulan itu, mangsa kedua dan ketiga bertindak terjun ke dalam parit kerana cuba menyelamatkan mangsa pertama.
“Walau bagaimanapun, disebabkan tidak pandai berenang, ketiga-tiga mangsa telah lemas di parit berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Mohd. Zaidi, insiden itu disaksikan seorang remaja lelaki yang cuba menyelamatkan kesemua mangsa dengan membawa mangsa ke daratan.
Kesemua mangsa dibawa ke hospital menaiki ambulans dan kenderaan persendirian bagi menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di hosptial.
Jelas beliau, siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). – Borneo Today