Tiga Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Di Sabah

bazar-rahmah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Masyarakat setempat berpeluang untuk mengunjungi Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di tiga lokasi masing-masing di Kota Kinabalu, Putatan dan Tawau sepanjang bulan puasa.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas yang mengumumkan ini berkata, BRR merupakan sebuah inisiatif terbaru Kerajaan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan hidangan untuk berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan.

“Ini termasuklah dengan menggalakkan peniaga bagi menyediakan kepelbagaian konsep penyediaan makanan atau produk yang seimbang berteraskan Menu Rahmah kepada pengunjung yang hadir ke Bazar Ramadan pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, antara kriteria BRR adalah di mana terdapat peniaga yang menawarkan Menu Rahmah, lokasi yang menjadi tempat tumpuan rakyat dan menggalakkan kadar sewa Rahmah serta berpatutan kepada peniaga berdasarkan lokaliti.

“Inisiatif BRR ini dilaksanakan secara kerjasama strategik di antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau swasta tanpa melibatkan sebarang implikasi kos kepada kerajaan.

“Sebanyak tiga lokasi yang terpilih sedang melaksanakan BRR di seluruh Sabah sepanjang bulan Ramadan ini iaitu BRR Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu; BRR Hadapan Sabindo Plaza, Tawau; dan BRR Juara Sport Arena Ketiau, Putatan,” katanya.

Pada masa yang sama katanya, KPDN Sabah dengan kerjasama rakan strategik dari pihak penyedia perkhidmatan e-wallet (Touch ‘n Go & Boost) turut menawarkan pemberian insentif e-tunai kepada 6,000 pengguna/pengunjung dalam bentuk e-wallet bernilai RM20 bagi 1,000 pengunjung terawal di setiap lokasi BRR pada tarikh-tarikh terpilih seperti berikut:

Menurut Georgie lagi, inisiatif ini sekaligus memperluaskan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Inisiative – ReDI) yang bertujuan untuk memastikan peniaga kecil tidak terus ketinggalan di dalam arus perdana dan bersama-sama dalam melibatkan diri menerusi model baharu perniagaan secara digital dengan mengaplikasikan pembayaran digital tanpa tunai (Cashless).

Jelasnya, inisiatif ini juga mendokong kerangka pelaksanaan MyDIGITAL, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) RMK-12 bagi sektor peruncitan dalam membantu peniaga melonjakkan semula ekonomi mereka dengan mempelbagai pilihan pembayaran di samping meningkatkan lagi pendapatan terutamanya pada musim perayaan ini.

“KPDN Sabah turut melaksanakan Program Advokasi Kepenggunaan di ketiga-tiga BRR tersebut menerusi Kuiz Kepenggunaan dan edaran risalah kepada para pengunjung bazar,” ujarnya.

KPDN Sabah merakamkan setinggi penghargaan kepada PBT dan rakan strategik dari pihak penyedia perkhidmatan e-wallet (Touch ‘n Go & Boost) serta semua pihak yang terlibat di atas komitmen menjayakan inisiatif BRR ini bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup mereka di Sabah di samping meningkatkan pendapatan para peniaga di sini. – WARTA ORIENTAL

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top