Tiga ahli parlimen ‘lompat’: Letak mereka di luar Dewan lebih baik – Dr Akmal

dr-akmal.jpg

Dr Akmal (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: “Saya minta Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat) untuk letakkan mereka di luar Dewan, lebih baik saya rasa.”

Demikian kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh secara sinis berhubung penukaran tempat duduk tiga ahli Parlimen Bersatu dalam Dewan Rakyat.

Menurut laporan Malaysiakini, Akmal turut menempelak tindakan tiga Ahli Parlimen Bersatu itu yang memohon untuk bertukar tempat duduk.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mempersoalkan langkah itu dan menganggap ia sama seperti amalan lompat parti sebelum ini.

“Apa alasan utama nak tukar tempat duduk? Duduklah di tempat sama dan sokong kerajaan dari sana.

“Sebelum dan selepas Akta Antilompat Parti diwujudkan, Parlimen masih lagi ada ‘katak-katak’ politik,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal tetap konsisten dengan pendirian bahawa tindakan empat ahli Parlimen Bersatu itu adalah sama seperti melompat parti.

Katanya, ketiadaan peruntukan hanya digunakan sebagai alasan semata-mata.

Beliau turut menegaskan langkah tersebut hanya demi kepentingan diri dan bukanlah untuk memperjuangkan rakyat.

“Isunya adalah sama ada mereka ini mahu buat kerja ataupun tidak kerana peruntukan untuk pembangunan tetap boleh mohon seperti biasa.

“Jika ada isu setempat, yang memerlukan (peruntukan) pembangunan boleh panggil pihak yang terlibat seperti wakil rakyat, agensi-agensi kerajaan atau jumpa menteri minta bantuan.

“Yang tidak ada, peruntukan ahli parlimen dan dua (ahli parlimen) yang tukar sokongan itu dari Kelantan, yang mana kerajaan negeri di bawah pentadbiran pihak pembangkang, jadi, alasan nyata sokongan sebab tak dapat peruntukan itu tidak masuk akal,” katanya.

Terdahulu, tiga ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertukar tempat duduk di dalam Dewan Rakyat, semalam.

Mereka adalah Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Khamis lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilaporkan berkata, empat Ahli Parlimen itu memohon menukar tempat duduk masing-masing di dalam Dewan Rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top