KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa hari ini memuji tindakan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan menyifatkannya sebagai langkah berprinsip.
Katanya, faktor Musa tetap penting dalam politik Sabah walaupun tokoh itu tidak bertanding dalam PRN.
“Tan Sri Musa yang mencabar kesahihan pembubaran telah ambil langkah berprinsip dengan tidak sertai PRN, ….namun, faktor (TSM) Musa tetap penting dalam politik Sabah,” katanya menerusi Twitter.
Beliau turut memuat naik petikan laporan mengenai ketidakhadiran Musa di mana-mana pusat penamaan calon semalam.
Pencetus kepada pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai lalu, Musa yang tidak tersenarai dalam calon Barisan Nasional/UMNO tidak kelihatan di mana-mana pusat penamaan calon yang dibuka sejam mulai jam 9 pagi, semalam.
“Jaga diri semua, semoga sentiasa dalam keadaan selamat,” kata Musa yang tidak menyerahkan borang pencalonannya sejurus pusat penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila ditutup, menerusi Twitter semalam.
Untuk rekod, Musa dalam ciapannya pada 9 September telah menulis: “Saya akan kembali ke Sungai Manila” namun tiada kelibatnya pada kerusi baharu itu dalam Parlimen Libaran.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan wujud perbalahan berkaitan pengagihan kerusi UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Berbalah kita kalah, sebab itu kita tak ada sebarang pertembungan antara BN dan BERSATU kerana kita tidak mahu berbalah dan kalah.
“Memang pada awalnya proses pembahagian kerusi ini amat sukar tapi dengan adanya kebijaksanaan dan persefahaman dalam kepimpinan BN/UMNO dan pemimpin di Sabah sendiri maka semuanya dapat diselesaikan dan hari penamaan calon kita lancar,” katanya dalam program bual bicara disiarkan UMNO Online, hari ini.