KOTA KINABALU: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (DARD) menyifatkan masih banyak lagi calon berkelayakan untuk diangkat menjadi timbalan perdana menteri jika gabungan itu menang pada pilihan raya umum ke-15.
Utusan Malaysia melaporkan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tawaran Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk melantik timbalan perdana menteri dari Sabah memberi peluang kepada semua pemimpin berkelayakan dilantik memegang jawatan itu.
“Tidak semestinya saya, kita ada 25 calon daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN. Semua berkelayakan untuk menjadi timbalan perdana menteri dan saya tidak katakan, sayalah yang akan dilantik.
“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk memutuskannya,” katanya.
Menurut laporan itu lagi, Abdul Rahman berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang menyatakan beliau (Abdul Rahman) layak dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Beliau berkata, perbincangan mengenai siapa yang layak menjadi timbalan perdana menteri telah dibincangkan secara bersama antara GRS-BN namun, tidak elok untuk mendedahkan hasil perbincangan tersebut.
“Biarkan pilihan raya ini berakhir dahulu sebab tidak elok jika saya dedahkan hasil perbincangan dengan GRS. Namun, yang pasti ramai (berkelayakan) dan kita mempunyai peluang sama rata untuk menjadi timbalan perdana menteri,” katanya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, rakyat di kawasan Parlimen berkenaan pasti akan menghargai sekiranya calon timbalan perdana menteri dari Kota Belud.
Sabtu lalu, Musa menyatakan Abdul Rahman layak dilantik sebagai timbalan perdana menteri selepas mengambil kira jawatan pernah dipegangnya dalam kerajaan persekutuan sebagai menteri perumahan, kerajaan tempatan dan kesejahteraan bandar serta menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi).
Abdul Rahman turut menyuarakan keyakinannya bahawa sokongan rakyat terhadap BN Sabah tidak akan terjejas dengan tindakan bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.
“Walaupun Anifah kawan saya tapi dia bukan pemimpin Umno, jadi apa yang dia lakukan tiada kaitan dengan kita. Ramai pemimpin meninggalkan Umno pada 2019 dan kita telah susun semula kekuatan parti kita. Tidak kira apa berlaku Umno akan terus bergerak ke hadapan,” katanya.
Katanya, keputusan Anifah itu bersifat peribadi namun beliau yakin Umno Sabah akan menjadi lebih kukuh.