KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) mempersoalkan kerajaan sama ada telah merancang untuk mengadakan Sambutan Hari Malaysia di Kuala Lumpur atau di Putrajaya pada tahun hadapan.
Menurutnya, sambutan itu telah pun berulang kali disambut hanya di Sabah dan Sarawak secara bergilir-gilir sejak 2011.
“Sambutan ini diadakan sebagai satu proses untuk mendidik rakyat Malaysia ke arah pembinaan sebuah negara yang bersatu padu, yang bangga dengan negaranya dan patriotik.
“Sambutan ini bukan setakat acara rutin iaitu hanya diadakan semata-mata pada setiap tahun. Belum lagi pernah sambutan ini di ibu kota Kuala Lumpur atau pun di Pusat Pentadbiran Putrajaya,” katanya.
Madius berkata demikian dalam ucapan perbahasan bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Sidang Parlimen Dewan Rakyat, pada Rabu.
Beliau turut mempersoalkan program-program penting yang bakal menjadi pengisian sekiranya sambutan hari Malaysia diadakan di Kuala Lumpur.
“Apakah yang berhormat menteri mempertimbangkan supaya diadakan pameran besar-besaran berkaitan proses dari awal pembentukan Malaysia termasuk segala cabaran, perjanjian, perakuan dan jaminan-jaminan yang telah dibuat?
“Ia perlu bagi memberi kefahaman kepada seluruh rakyat sekali gus mencapai matlamat ke arah membina sebuah negara Malaysia yang patriotik dan bersatu padu. Telah tiba masanya satu perubahan besar dilaksanakan,” katanya.
“Mudah-mudahan pada minggu depan apabila dibentangkan pindaan Perlembagaan Artikel 160 (2), tarikh sebenar Hari Malaysia ini juga dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kedudukan sebenar Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga dikembalikan seperti pada dalam perlembagaan asal. Biarlah tahun hadapan akan menjadi permulaan kita membina Malaysia ini seperti mana yang telah termaktub dalam penjanjian 1963 (MA63),” kata Madius. – Borneo Today