KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, tiada keperluan bagi mengadakan sidang khas DUN untuk membincangkan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, ini kerana perkara berkaitan MA63 termasuk Rang Undang-Undang (RUU) yang bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan telah dibentangkan di Parlimen dan bakal dibahaskan.
“Berkenaan dengan sidang khas (DUN), sekarang di Parlimen sudah dibentangkan (pindaan perlembagaan), mengenai MA63.
“Pada pendapat saya, tiada keperluan adakan satu sidang khas, kita harap Ahli Parlimen kita dari Sabah akan bahaskan (di Parlimen),” katanya ketika menjawab celahan ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick dalam sidang DUN Sabah, pada Rabu.
Ewon yang juga Naib Presiden Upko bertanya kepada kerajaan sama ada mereka bersetuju sekiranya satu sidang khas DUN diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan MA63.
Selepas itu, Adun Senallang yang juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut mencelah mengatakan beberapa pindaan perlembagaan berkaitan MA63 selama ini hanya dibuat di peringkat pusat tanpa ‘merujuk’ kepada Sabah atau Sarawak terlebih dahulu.
“Banyak perubahan (perlembagaan) di peringkat pusat tanpa konsultasi (kerajaan negeri), pindaan (perlembagaan) telah dicabuli,” katanya yang juga Presiden Warisan.
Bagaimanapun, Hajiji kemudian menjelaskan beberapa pindaan yang dicadangkan dalam Majlis Khas MA63 (MKMA63) turut dipersetujui sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak dan kini telah dibentangkan di Parlimen.
Katanya, walaupun tuntutan lain tidak dapat dibawa ke peringkat perlembagaan, namun ianya boleh dilakukan secara pentadbiran.
“Saya sendiri telah menyenaraikan, ada 17 perkara yang telah dituntut oleh Sabah dalam semangat MA63 itu telah dikemukakan, tuntutan mengenai MA63 telah dikemukakan seluasnya.”
Beliau berkata, walaupun tiada sidang khas diadakan, tiada sekatan bagi semua wakil rakyat untuk membahasnya di mana-mana platform lain.
“Memadailah, sebelum ini pun kita telah berbincang di dalam dewan ini, kita berkata mengenai MA63, saya ingat dari zaman Barisan Nasional (BN) hingga pemerintahan Warisan juga dibincang dalam dewan yang mulia ini,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Ahmad Abdul Rahman berkata, perkara mengenai sidang khas DUN bagi membincangkan MA63 tidak seharusnya dibangkitkan kerana usul mengenainya yang dikemukakan oleh ADUN Tungku Assafal P Alian telah pun ditolak.