KOTA KINABALU: Pengerusi jawatankuasa penyelarasan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing berkata, Perjanjian Malaysia baharu adalah sesuatu yang tidak perlu.
“Adalah tidak logik jika selepas 60 tahun wujud sebagai sebuah persekutuan perjanjian baharu perlu dibuat. Perbincangan mengenai perjanjian sedia ada sudah mengambil banyak masa.
“Untuk merangka perjanjian baharu akan mengambil masa yang lebih lama, apatah lagi dengan pelaksanaan perjanjian baharu itu. Apa yang penting adalah tindakan ikhlas dan komited kerajaan persekutuan untuk melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bumburing berkata PBRS Tuaran percaya timbalan pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berniat baik apabila menyuarakan cadangan agar kepimpinan BN Sabah mencadangkan satu perjanjian baharu sebagai cara yang lebih konkrit ke arah merealisasikan hak dan tuntutan negeri yang termaktub di bawah MA63.
Veteran politik itu menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuk perjanjian baharu kerana Perjanjian Malaysia 1963 mengandungi semua butiran mengenai hak Sabah.
Beliau berpendapat BN perlu dengan jelas meletakkan isu ini dalam manifestonya untuk pilihan raya umum ke-15 bagi meyakinkan rakyat Sabah bahawa kerajaan BN yang akan datang komited untuk menyelesaikan isu ini.
“Kami mengalu-alukan cadangan Datuk Seri Najib mengenai Dasar Pandang Borneo bagi menggantikan Dasar Pandang Ke Timur yang diguna pakai semasa era Dr Mahathir.
“Seperti yang telah kita fahami, Dasar Pandang Ke Timur menekankan memberi keutamaan kepada negara maju timur, khususnya Jepun. Penekanan dalam dasar itu adalah untuk memberi keutamaan kepada Jepun dari segi pelaburan asing, pemindahan teknologi, emulasi etika kerja dan sistem pengurusan. Seperti yang Najib sebutkan, senario dunia sudah berubah dan pendekatan baharu diperlukan,” katanya.
Bumburing bagaimanapun menegaskan bahawa Dasar Pandang Borneo tidak akan menjadi pengganti Dasar Pandang Ke Timur.
“Ia memerlukan dasar baharu dalam mempercepatkan pembangunan ekonomi kedua-dua negeri Borneo, bukan sahaja untuk setanding dengan Tanah Melayu tetapi untuk seiring dengan potensi pertumbuhan pusat pentadbiran baharu Indonesia di Kalimantan,” katanya.
Beliau berpendapat jika Sabah dan Sarawak ketinggalan maka suatu senario yang terbalik akan berlaku dalam peluang perniagaan dan pekerjaan di kedua-dua negeri itu.
Pada masa ini Sabah sangat bergantung kepada tenaga kerja dari Indonesia, tetapi jika ia ketinggalan senarionya mungkin terbalik di mana rakyat Sabah pula perlu mencari pekerjaan di Kalimantan, kata Bumburing.
Menurutnya jika kerajaan persekutuan serius dengan dasar ini, banyak tindakan-tindakan konkrit mesti dilakukan.
Untuk memacu pertumbuhan, infrastruktur asas seperti pelabuhan, jalan raya, bekalan elektrik dan air mesti dibangunkan. Sumber manusia mesti berkembang dari segi kemahiran dan kepakaran, katanya.
“Tanpa tenaga buruh mahir, kita tidak boleh memacu pembangunan pantas. Kerajaan persekutuan juga mesti merekayasa pengagihan semula pelaburan langsung asing kepada kedua-dua negeri Borneo,” tambahnya.
Bunburing juga berkata jawatankuasa penyelaras PBRS Tuaran mengalu-alukan keputusan pucuk pimpinan BN pusat menyerahkan rundingan kerusi bagi pilihan raya umum ke-15 kepada BN Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ini, katanya, memberi isyarat autonomi kepada parti komponen BN di Sabah dan potensi kerjasama antara BN dan GRS.
“Namun, kami menggesa sebelum BN Sabah hadir ke meja perbincangan dengan GRS, perlu ada perbincangan konkrit terlebih dahulu di kalangan parti komponen gabungan itu.
“MCA Sabah telah menyatakan senarai hajat mereka dalam media. Walaupun PBRS tidak membuat sebarang kenyataan umum mengenai perkara itu, kami percaya bahawa kepimpinan PBRS mempunyai senarai dalam fikiran.
“Perbincangan dan rundingan mesti berdasarkan semangat setiakawan, pembahagian demografi dan sejarah kerusi.
“PBRS sebagai satu-satunya parti komponen yang berpangkalan di Sabah dalam BN Sabah memikul beban berat untuk mendapatkan beberapa kerusi yang ditinggalkan oleh bekas parti berpangkalan di Sabah seperti PBS dan UPKO. Justeru, PBRS wajar diberi pengiktirafan sewajarnya,” kata Bumburing.
Sumber: The Borneo Post