KOTA KINABALU: Agama atau bangsa tidak patut dilihat sebagai syarat seseorang itu dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah, kata kenyataan dari Persatuan Gerakan Kebajikan dan Kemajuan Sabah.
Menurut jurucakap badan bukan kerajaan itu, Willde Edwin, syarat perlantikan harus berdasar kepada merit.
Merujuk kepada cadangan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (Kadazandusun Cultural Association) agar bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri DSP Dr Joseph Pairin Kitingan dilantik sebagai pengganti kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah sekarang, Tun Datuk Seri Panglima Hj Juhar Mahiruddin.
“Ia adalah satu cadangan yang sangat baik dan tepat.
“Huguan Siou Tan Sri Pairin Kitingan yang juga mantan Ketua Menteri Sabah mempunyai kriteria sebagai seorang pemimpin yang memang selayaknya diangkat menjadi TYT Sabah dan mampu mengetuai Sabah sebagai Yang di-Pertua Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Cadangan tersebut, walaubagaimanapun mengundang kritikan pihak-pihak tertentu yang tidak mempersetujuinya atas alasan agama seseorang yang dilantik sebagai TYT.
“Agama atau bangsa tidak seharusnya dijadikan sebagai syarat,” tegas Willde.
Menurutnya, jika mengikut Perlembagan Negeri Sabah tidak mempunyai sebarang halangan untuk melantik seseorang sebagai TYT Sabah dimana Artikel 1 Perlembangaan Negeri Sabah juga tidak mensyaratkan agama yang dianuti untuk dilantik sebagai TYT, tambahan lagi di Sabah adalah bebas beragama mengikut perlembagaan seperti yang tertulis di Batu Sumpah Keningau ‘Ugama Bebas Dalam Sabah’,” katanya.
Selain itu Willde mengingatkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Melaka pertama pada tahun 1957, Tun Leong Yew Koh, adalah seorang yang berbangsa Cina dan juga beragama Katolik.
Menurutnya, sebagai rakan dalam pembentukan Persekutuan Malaysia, Sabah adalah merupakan sebuah wilayah dan atas dasar status tersebut ia layak mempunyai keistimewaan tersendiri dalam apa jua hal yang melibatkan sistem pentadbiran dan proses membuat keputusan.
“Ini termasuk hal perlantikan TYT Sabah adalah sebuah wilayah dalam Malaysia, maka ia bukan setaraf dengan negeri-negeri Tanah Melayu yang mempunyai institusi raja-raja mereka.
“Kita harap pendirian, kebebasan dan kedudukan negeri Sabah dalam hal ini harus dihormati.
“Maka dengan itu saya berharap cadangan KDCA itu dapat sambutan yang baik oleh kerajaan Negeri dan dapat mengangkat nama Tan Sri Joseph Pairin Kitingan kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong sebagai pengganti TYT Negeri Sabah,” katanya.
Willde juga mecadangkan agar pindaan perlembagaan perlu dilakukan untuk menukar status Yang di-Pertua Negeri kepada Yang di-Pertua Negara seperti dahulu.
Beliau juga menegaskan bahawa di Sabah, rakyat tidak suka memainkan isu-isu sensitif seperti agama dan bangsa dan akan sentiasa menolak sekeras-kerasnya jika ada pihak yang cuba main isu-isu tersebut.
“Di Sabah, kita sudah lama hidup aman dan damai walaupun berlainan ugama dan bangsa.
“Saya yakin rakyat negeri ini tidak melihat ia sebagai satu isu jika seseorang beragama Kristian diangkat sebagai TYT,” katanya lagi.