Tidak Menjawab Adalah Jawapan Yang Salah

tanpa-jawapan.jpg
Kongsi Bersama

1.Banyak kali saya terdengar dan terpandang orang bertanya kenapa kedai buku dan peralatan tulis menulis tidak disenaraikan sebagai essential sedangkan ia melibatkan keperluan para pelajar? Takkanlah kerana anak-anak itu belajar melalui kaedah PdPR maka mereka tidak memerlukan buku, alat tulis dan getah pemadam? Di mana agaknya mereka hendak beli kertas dan dakwat cetak? Adakah di pasar harian atau di kedai runcit?

2. Saya tidak mendengar atau melihat ada sesiapa menjawab. Soalan itu berlalu pergi seolah-olah ia ditanya kepada hantu.

3. Orang bertanya juga kenapa kedai pakaian tidak boleh dibuka? Banyak sangatkah kes dan kluster yang berpunca daripada perniagaan jenis itu?

4. Pun saya tidak pernah mendengar jawapannya.

5. Soalan tentang mengapa begitu banyak jenis kilang disenaraikan sebagai boleh beroperasi pun begitu. Ada jawapan tetapi tidak jelas dan tidak meyakinkan.

6. Demikianlah. Terlalu banyak soalan yang tinggal tidak berjawab atau dijawab dengan cara yang menimbulkan lebih banyak persoalan baharu. Tentang PKP dan SOP, tentang vaksin dan kekurangannya, tentang vaksinasi dan kelambatan, tentang kayangan dan rakyat marhain, malah tentang darurat, sidang Parlimen dan tentang apa sahaja.

7. Terkini tentang isu pelonggaran SOP bagi Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sabah. Selepas Datuk Seri Panglima Ketua Menteri mengumumkan pelonggaran dan Datuk Seri Panglima Menteri Kanan (Keselamatan) pula menganggapnya tidak wajar, maka kerajaan negeri Sabah pun kemukakan SOP baharu kepada Putrajaya. Tetapi sampai hari ini, selepas empat hari masih tidak kedengaran maklum balasnya.

8. Perlukah masa yang begitu lama diambil untuk memberi kata putus mengenai perkara itu sedangkan ia melibatkan kepentingan semua rakyat di wilayah itu? Sepatutnya dalam keadaan darurat banyak keputusan perlu dibuat secara pantas dan tuntas. Malangnya perkara itu tidak berlaku.

9. Semua ini sesungguhnya memberi gambaran yang tidak elok terhadap kerajaan. Sama jugalah dengan keputusan-keputusan yang flip-flop dan tindakan-tindakan yang kadangkala meragukan, misalnya mengenai penguatkuasaan SOP dan perbezaan layanan antara rakyat biasa dan kluster kayangan.

10. Rakyat dapat melihat bahawa banyak keputusan serta tindakan tidak dibuat secara bersepadu dan ia juga bukanlah imej yang baik untuk sebuah kerajaan. Kordinasi yang lemah hanya akan mencerminkan sebuah pasukan yang lemah juga.

11.Sepatutnya dalam keadaan negara sedang berperang dengan musuh yang tidak kelihatan ini semua anggota kabinet tampil memperlihatkan kerja kerasnya. Rakyat harus diyakinkan bahawa mereka mempunyai panglima-panglima perang yang hebat, yang tidak akan membiarkan negara ini dirobek sama ada oleh virus atau oleh ekonomi. Yang akan menjawab apabila ditanya!

12. Malangnya itu pun tidak berlaku. Kita mempunyai anggota kabinet yang ramai, tetapi yang dilihat berhempas pulas hanyalah sekumpulan kecil. Ismail Sabri, KJ, Hishammuddin Hussein, Hamzah Zainuddin, Annuar Musa, Dr Adham Baba, Dr Noraini Ahmad dan dua tiga orang lain. Mana yang lain-lain ? Kalau mereka bekerja dalam diam, yakni menjadi ubi yang diam-diam berisi, sekurang-kurangnyanya tunjukkanlah isinya.

13. Jika masing-masing senasib dengan tukang kayu, tukang gunting, tukang kasut dan lain-lain yang tidak dapat bekerja disebabkan PKP, beritahulah kepada rakyat akan keadaan mereka. Jangan biarkan rakyat tertanya-tanya masih berfungsikah mereka atau sebaliknya mereka termasuk dalam kelompok menteri bukan ‘essential’?

14. Ya atau tidak, perlu dijawab. Bukan soalan itu sahaja, tetapi semua soalan lain yang jika dikumpul jumlahnya mungkin berpuluh kalaupun bukan beratus atau  beribu!

 

Oleh: Tulus Budiman

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top