KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengecam mereka yang menggesa peletakan jawatan presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dianggap sebagai ahli yang tidak menghormati perlembagaan parti.
Bercakap kepada FMT, beliau berkata ahli parti tidak berhak memberitahu presiden yang dilantik secara perlembagaan untuk meletak jawatan.
“Saya menyokong perlembagaan dan peraturan di dalamnya,” katanya. “Tidak masuk akal untuk meminta beliau undur.”
Katanya, mana-mana ahli yang menantikan jawatan Zahid itu perlu menunggu pilihan raya parti untuk merebutnya.
Rasa tidak puas hati terhadap kepemimpinan Zahid dilihat semakin memuncak dalam kalangan pemimpin akar umbi, dengan seorang ketua bahagian parti itu mendakwa kelemahan beliau (Zahid) sebagai presiden yang menyebabkan “kekecohan” dalam parti.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan semalam mengeluarkan kenyataan yang menyeru kepada kesatuan parti.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak mencerminkan nilai dan budaya Umno, malah bertentangan dari segi adab dan susila dan berkata ahli mesti tidak terkurang hormat kepada institusi presiden.
Ketua Pemuda Umno Sabah, Abdul Aziz Julkarnain juga menyokong Zahid, dengan berkata kualiti dirinya sebagai “pemimpin transformasi” yang membolehkan beliau memperkasakan sayap pemuda dan wanita parti itu.
Beliau turut memuji Zahid kerana bersetuju membenarkan Umno Sabah membuat rancangannya sendiri.
Sumber: FMT