Tidak Benar Varian India Di Sabah, Kata Pengarah Kesihatan Negeri

Dr-Christina.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Sabah menolak dakwaan yang berlegar di media sosial mengenai varian Covid-19 dari India yang dikatakan sudah berada di negeri ini, demikian lapor FMT.

“Tidak benar,” kata pengarahnya Datuk Dr Christina Rundi dalam satu mesej ringkas ketika ditanya mengenai dakwaan berkenaan yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp.

Mesej tular itu memberi amaran supaya orang ramai berjaga-jaga, dengan mendakwa telah menerima “berita sahih” bahawa Kota Kinabalu sudah berdepan kes pertama Covid-19 varian India.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, terdapat 56 kes melibatkan varian yang membimbangkan (VOC) dilaporkan dalam negara, selain tiga varian yang memerlukan perhatian. Salah satu kes melibatkan varian mutasi berganda B.1.617.1 dari India.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) awal minggu ini berkata, varian Covid-19 itu pertama kali dikesan di India tahun lalu dan diklasifikasikan sebagai VOC di peringkat global, dengan beberapa kajian awal mendapati ia lebih mudah tersebar.

Berikutan itu, kerajaan menyekat penerbangan keluar masuk dari India bagi mengekang penularan varian baharu itu bermula 28 April.

Sabah turut mengenakan sekatan sama terhadap kemasukan pelawat dari Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka serta sesiapa sahaja yang pernah melawat India, Perancis, Amerika Syarikat, Brazil dan benua Afrika.

Sementara itu, portal tersebut juga melaporkan jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun memaklumkan di Twitter bahawa Sabah merekodkan 60 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu.

Daripada jumlah itu, 50 kes adalah daripada kluster sedia ada, kata beliau.

“KK di kedudukan teratas (dalam senarai) dengan 18 kes daripada tiga kluster, diikuti Tawau dengan 15 kes yang kebanyakannya daripada kluster Kongsi 8,” kata beliau.

Tambahnya, daerah lain hanya mencatatkan kes satu angka dengan tiada kes direkodkan di 15 daerah lain.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top