Tidak Ada Asas Beri Kerusi DUN Sabah Kepada PAS – PBS

Maximus-Ongkili-bernama-170219-1-1.jpg

KOTA KINABALU: PBS menolak cadangan memberikan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kepada PAS dengan berkata, tidak ada asas bagi kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah menimbangkan perkara itu.

Presiden PBS Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, parti itu telah memaklumkan pendiriannya kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pengerusi negeri serta Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berhubung gesaan supaya seorang wakil parti Islam itu dilantik sebagai anggota DUN.

Mengikut perlembagaan negeri Sabah, kerajaan negeri boleh melantik sehingga 6 orang sebagai anggota DUN.

Gabungan kerajaan GRS menguasai 38 daripada 73 kerusi DUN.

Ongkili berkata, parti itu menyuarakan kebimbangan dan rasa tidak senang masyarakat awam Sabah selain keperluan untuk menimbangkan kesan perundangan dan politik lebih luas cadangan itu.

Beliau berkata, mana-mana orang tidak boleh menghalang penyertaan mana-mana pihak jika mereka terlibat dalam proses dan kerjasama sesebuah gabungan yang dibentuk bagi memenangi pilihan raya dan berikutan itu menubuhkan kerajaan.

“Tetapi dalam kes PAS, mereka tidak bertanding atau memenangi mana-mana kerusi (dalam pilihan raya negeri Sabah). Justeru kami berpendapat apa-apa lantikan wakil PAS di bawah peruntukan slot Adun dilantik atau mana-mana lantikan kerajaan tidak layak dipertimbangkan oleh GRS.

“Saya yakin ketua menteri akan menimbangkan semua perkara ini, termasuk kebimbangan dan sensitivity pelbagai kelompok agama di Sabah.

“Bagi PBS, pandangan kami mudah, iaitu ikut undang-undang. Amalkan prinsip saling menghormati kepercayaan masing-masing dan pelihara keamanan serta perpaduan walaupun kita mempunyai perbeezaan kepercayaan, budaya, malah pegangan politik,” kata Ongkili yang merupakan menteri pusat bagi hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Pemimpin DAP Sabah menyuarakan kebimbangan berhubung cakap-cakap bahawa seorang wakil PAS merupakan seorang daripada 6 Adun dilantik yang kemudiannya akan dilantik sebagai menteri negeri.

Kebimbangan itu diperkuatkan lagi selepas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa menulis di Twitter kelmarin bahawa beliau menjangka PAS, yang merupakan sekutu politik dalam Muafakat Nasional (MN) akan diberikan kerusi Adun dilantik.

Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin mendakwa rakyat Sabah umumnya menolak parti Islam itu dengan berkata, “ekstremisme” PAS akan menggugat keharmonian di Sabah.

Ongkili yang merupakan ahli Parlimen Kota Marudu berkata, pandangan berhubung isu itu bersifat spekulatif kerana tiada pengesahan tentang keputusan Hajiji atau GRS mengenainya.

Beliau berkata, walaupun PBS merupakan sekutu dalam GRS, perbincangan mengenai peranan PAS berlaku antara PPBM dan BN.

“Perbincangan itu tidak melibatkan PBS,” katanya.

“PBS hanya mengikuti perbincangan masyarakat awam mengenai penglibatan PAS dalam pentadbiran negeri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top