TONGOD: Datuk Masiung Banah berkata, sudah tiba masanya sambutan Pesta Kaamatan diberi nafas baharu dengan ikrar untuk meningkatkan hasil tanaman padi secara bersepadu di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata, Kerajaan perlu merangka garis panduan bagi menjenamakan semula industri padi setiap kali sambutan Pesta Kaamatan.
“Jika tiada langkah bersepadu, sampai bilapun kita hanya berbangga menyambut Kaamatan sekadar sebagai pesta tahunan untuk melengkapkan kalender pelancongan.
“Walaupun Kaamatan adalah asas kepada upacara hasil tuaian padi, tetapi ternyata Sabah masih bergantung kepada bekalan beras import,” katanya semasa merasmikan Pesta Kaamatan Zon Tongod di Mini Dewan Kampung Talibu, di sini, kelmarin.
Masiung berkata, di sebalik mengetengahkan kepelbagaian tradisi dan budaya Sabah, Kerajaan perlu melihat apa sudah jadi dengan industri penanaman padi yang menjadi teras utama Pesta Kaamatan.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu berkata, Pesta Kaamatan kini sudah dimodenkan di mana upacara kesyukuran ‘ritual’ semangat padi sekadar berlegar di atas pentas dan jarang sekali dijadikan asas di jelapang padi.
Beliau mahukan masyarakat Sabah kembali ke zaman lampau bergotong-royong menanam dan menuai padi kerana usaha itu dapat menjana ekonomi sekaligus dapat membentuk semangat perpaduan di kalangan penduduk.
“Pada masa kini Sabah hanya mencapai 25 peratus tahap sara diri bagi pengeluaran padi hasil daripada tanaman penduduk secara bermusim.
“Harus diingat Wilayah Sabah kini hanya bergantung sepenuhnya kepada beras import dari Thailand, Vietnam dan Cambodia.
“Apa akan jadi kepada rakyat Sabah jika tiba-tiba negara berkenaan menghentikan bekalan beras kerana faktor fenomena global?“ tanya beliau.
Masiung berkata, dalam keseronokan menyambut Kaamatan, Kerajaan wajar memikirkan supaya perayaan itu diberi nafas baharu ke arah mewujudkan industri berasaskan padi.
Penolong Pegawai Daerah Tongod, Cleophas John Gordon dan Pegawai Pemimpin Masyarakat, Tokyo @ Hashim Omar adalah antara kira-kira 300 penduduk hadir memariahkan Pesta Kaamatan itu. – Warta Oriental