Tiada unsur penyelewengan, RM5 juta diguna sepenuhnya atasi masalah air

mustapha-UMS.jpg

Mustapha ketika berucap di Forum Belia Madani di UMS. semalam. (Kredit foto: FB Kementerian Pendidikan Tinggi)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Mustapha Sakmud menafikan tohmahan dana RM5 juta bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) disalah guna pihak berkepentingan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, dana RM2 juta yang disalurkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digunakan sebaiknya untuk membina telaga tiub di kampus terbabit.

“Sebelum ini saya sudah nasihatkan agar menyuarakan isu ini secara rasional dan mengikut perspektif yang betul, kita agak risau kerana tohmahan di luar mengatakan dana terbabit di salah guna.

“Saya tegaskan dana itu digunakan sebaiknya untuk membina telaga tiub yang kini membekalkan satu juta liter air sehari yang menjadi menjadi altenatif tambahan sumber air dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

“Tidak ada unsur penyelewengan dalam dana ini dan jika ada mana-mana pihak cuba mempertikai isu ini, saya arahkan UMS untuk mengambil tindakan termasuk membuat laporan polis,“ katanya semasa sidang media selepas Forum Belia Madani di UMS, semalam.

Bercakap lanjut, Mustapha menegaskan agar pihak berkaitan memahami fakta sebenar dan jangan menggunakan fakta yang salah dalam menyuarakan isu ini.

“Kita tidak mahu imej kementerian dan UMS tercemar disebabkan tanggapan ini, oleh itu mana-mana pihak yang cuba memperalatkan isu ini untuk kepentingan politik atau organisasi masing-masing kita tidak akan berkompromi.

“Mereka boleh membawa dan mengajak pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat isu ini, tetapi saya bagi ketegasan di sini bahawa duit itu digunakan sepenuhnya untuk mengurangkan masalah air di dalam kampus UMS,” katanya.

Semasa ditanya berkenaan perhimpunan aman #kamimahuair yang dijalankan bukan setakat pelajar UMS tetapi disertai orang awam, Mustapha mengakui rakyat terkesan dengan isu air yang melanda Sabah kini.

“Kita di kementerian negeri dan Pusat berusaha bersungguh-sungguh untuk selesaikan isu ini dan bukan mudah selesaikannya dalam masa terdekat.

“Semua maklum, ini adalah masalah dari kerajaan terdahulu dan kita memerlukan masa untuk menyelesaikannya, tetapi bagi kampus UMS, telega tiub sudah dibuat dan kita minta JANS dapat menstabilkan bekalan air yang disalurkan di UMS.

“Tindakan pelaksanaan pemotongan bekalan air haram di jajaran utama secara berkala dan besar-besaran juga perlu dilakukan secara tegas bagi membolehkan saluran air dapat sampai tanpa diganggu oleh sambungan haram ini,” katanya.

Sementara itu, beliau juga kecewa dengan sikap peserta perhimpunan aman terutama pelajar UMS yang enggan menyerahkan memorandum kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

“Sikap ini dilihat agak keterlaluan dan tindakan ini tidak menggambarkan dari segi jati diri mahasiswa, fokus utama dan perjuangan yang ingin disampaikan adalah untuk membantu menyelesaikan masalah air, sekiranya ada wakil dari kerajaan negeri di lokasi serahkan sahaja memorandum itu untuk tindakan lanjut kerana pada akhirnya maklumat itu akan sampai kepada pihak tertinggi iaitu Ketua Menteri.

“Jadi saya harapkan agar perkara ini tidak berulang, dengan komitmen menyelesaikan masalah air ini, saya menjemput mahasiswa menghantar wakil dalam forum yang kita akan adakan untuk diberi penjelasan daripada pihak bertanggungjawab.

“Mungkin ada yang faham tapi ada yang cuba memanipulasikan isu ini untuk kepentingan atau motif tersendiri yang mendapat perhatian banyak pihak,” katanya. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top