Tiada Salahnya GPS Bantu PN Di Sabah –

alexander.jpg

DS Alexander Nanta Linggi (gambar fail)

KUCHING: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Alexander Nanta Linggi menegaskan tiada salahnya jika GPS membantu Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Beliau berkata, ini kerana GPS dan PN berada dalam satu kerajaan persekutuan yang sama.

“Saya tidak melihat apa-apa kesalahan jika GPS mahu membantu PN,” katanya bagi menjawab pertanyaan sama ada GPS akan membantu rakan-rakan PN dalam PRN Sabah yang akan berlangsung pada 26 September ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Dialog Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (SFCA) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Sarawak (ACCCIS) di City Square di sini, semalam.

Bagaimanapun Nanta berkata, keputusan sama ada GPS akan membantu perlu dirujuk kepada pucuk pimpinan tertinggi gabungan parti terlebih dahulu.

“Buat masa ini, kita masih belum memutuskan atau berbincang mengenai perkara tersebut,” jelasnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu berkata GPS berminat untuk melihat bagaimana PRN Sabah akan berlangsung.

“Kami berminat melihat bagaimana perkara ini akan berlangsung. Seperti orang lain, kami berasa agak luar biasa kerana terdapat begitu banyak calon yang bertanding.

“Mungkin ia selari dengan apa yang berlaku di sana. Saya hanya melihatnya sebagai satu proses normal di mana mungkin ada permintaan agar ia berlaku seperti itu,” katanya.

Tambahnya, Sabah dan Sarawak tidak pernah sama dari segi bagaimana pilihan raya dijalankan selama ini.

“Sentimennya mungkin kedua-dua negeri itu berada di Malaysia Timur, tetapi bagi senario politiknya, kedua-dua negeri mempunyai perbezaan,” kata beliau. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top