KOTA KINABALU: Tiada rancangan untuk memaksa kontraktor projek Pan Borneo menukar jadual kerja mereka atau menambah masa kepada waktu sedia ada, DUN Sabah diberitahu.
Pembantu Menteri Kerja Raya negeri Datuk Limus Jury berkata waktu bekerja adalah di bawah bidang kuasa kontraktor terbabit.
“Waktu kerja dan jadual mereka bergantung kepada pelbagai faktor termasuk keadaan cuaca dan keperluan yang ditetapkan oleh pelbagai agensi kerajaan,” katanya ketika menjawab soalan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan ADUN dilantik Dr Aliakbar Gulasan dalam soalan tambahannya tentang sama ada kerajaan negeri bercadang meminta kontraktor bekerja pada waktu tambahan dan di luar waktu puncak bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.
Aliakbar juga sebelum ini bertanya apakah langkah yang diambil bagi memastikan semua pakej di bawah projek Pan Borneo dapat disiapkan mengikut jadual.
Mengenai perkara itu, Limus berkata Fasa Satu projek itu melibatkan sejumlah 35 pakej, di mana 15 daripadanya telah siap.
Beliau berkata setiap pakej diuruskan oleh kontraktor berbeza dan kerajaan akan sentiasa memantau kemajuan kerja mereka.
Beliau berkata kedua-dua agensi negeri dan swasta bekerjasama untuk memastikan kelancaran operasi projek itu.
Menjawab soalan ADUN Kemabong Datuk Rubin Balang mengenai bila jalan Pan Borneo akan mula berfungsi di Keningau dan kawasan pedalaman lain, Limus berkata ia bergantung kepada pembiayaan dan perancangan kerajaan persekutuan yang baharu.
“Jadi kita kena tunggu dan lihat bila kerajaan perpaduan persekutuan akan memberi lebih banyak dana untuk Lebuhraya Pan Borneo memasuki kawasan pedalaman termasuk Keningau di Sabah,” katanya.