KOTA KINABALU: Pihak berkuasa bagi Taman Marin Tun Mustapha Kudat belum menerima sebarang permohonan atau memberi kelulusan untuk aktiviti cari gali minyak dan gas di kawasan berkenaan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Chirstina Liew dalam kenyataannya pada Selasa berkata, sebarang aktiviti di dalam kawasan perlindungan yang diwartakan di bawah kerajaan negeri perlu mendapatkan kelulusan sebelum boleh dimulakan.
Katanya, Taman Marin Tun Mustapha diwartakan sebagai taman di bawah Enakmen TamanTaman 1984 pada 2016.
Menurutnya, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) melalui Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah bertanggungjawab memastikan ekosistem hidupan marin di dalam kawasan perlindungan terpelihara sepenuhnya.
Beliau berkata, tindakan itu juga selaras dengan Enakmen Taman-Taman 1984 dan undang-undang negeri yang berkaitan.
Dalam pada itu jelasnya, KePKAS dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar juga mendapatkan pengesahan daripada pihak Jabatan Alam Sekitar sehingga hari ini tiada sebarang laporan Environmental Impact Assessment (EIA) yang dikemukakan bagi tapak blok SB-403 ‘Production Sharing Contract’ berkenaan.
Baru-baru ini, sebuah badan pemantau alam sekitar iaitu RimbaWatch dalam kenyataan menggesa kerajaan negeri supaya tidak meluluskan sebarang aktiviti cari gali minyak dan gas dalam tapak yang dipanggil Blok SB-403.
Kenyataan itu mendakwa, tapak berkenaan terletak sepenuhnya dalam kawasan taman marin yang dilindungi dan Taman Marin Tun Mustapha disenaraikan sebagai kawasan perlindungan marin Kategori VI Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), yang hanya membenarkan aktiviti berimpak rendah. – Utusan Borneo