Tiada peraturan tetap PKR mesti pegang jawatan pengerusi PH Sabah

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tidak ada peraturan yang menetapkan bahawa jawatan pengerusi Pakatan Harapan (PH) di negeri itu mesti dipegang oleh PKR, demikian tegas Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.

Utusan Malaysia dalam laporannya memetik Phoong sebagai berkata, pemilihan pengerusi PH negeri ditentukan semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) gabungan itu melalui proses demokratik.

“Apa kuota? Saya tidak tahu menahu tentang itu. Jika ada kuota (tetap), mengapa perlu adakan AGM? Tujuan AGM termasuklah untuk memilih kepimpinan.

“Saya percaya semua pihak, termasuk NGO, beroperasi dengan cara yang serupa. Ini sejajar dengan undang-undang di bawah Pendaftar Pertubuhan,” katanya.

ADUN Luyang, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah itu dilaporkan berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Krismas anjuran bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) di Penampang semalam.

Kenyataan Phoong itu adalah sebagai respons kepada dakwaan seorang pemimpin PKR bahawa pelantikan Presiden Upko, Ewon Benedick, sebagai pengerusi PH Sabah belum muktamad.

Sebelumnya, FMT melaporkan pemimpin PKR yang enggan mendedahkan identitinya itu mendakwa pengerusi PH di negeri itu sepatutnya menjadi hak parti tersebut, berdasarkan formula yang telah dipersetujui dan diamalkan oleh komponennya.

Pemimpin PKR tersebut berkata jawatan itu sepatutnya tidak dipertandingkan sejak awal lagi, sambil menambah bahawa pemilihan yang diadakan awal bulan ini adalah kali pertama diadakan sejak PH Sabah ditubuhkan pada 2017.

Secara tradisional, komponen PH Sabah, iaitu PKR, DAP, Upko, dan Amanah, akan mencalonkan seorang pemimpin PKR untuk mengetuai gabungan di peringkat negeri, kata pemimpin itu.

Dalam pemilihan baru-baru ini Datuk Christina Liew telah disingkirkan sebagai pengerusi PH Sabah, jawatan yang dipegangnya sejak 2017, selepas tewas kepada Ewon dengan perbezaan tiga undi. Walau bagaimanapun, terdapat spekulasi bahawa Liew mungkin kembali mengetuai gabungan negeri itu.

Sumber itu juga mendakwa bahawa Upko dan DAP telah melobi “dengan sangat agresif” untuk menyingkirkan Liew kerana beliau dianggap “sukar dikawal”.

Phoong berkata beliau tidak memahami mengapa pemilihan pengerusi PH menjadi pertikaian, sambil menambah bahawa sebarang kebimbangan seharusnya dibincangkan dalam mesyuarat kepimpinan PH Sabah, bukan diluahkan di media.

“Kelihatannya seolah-olah ada usaha untuk memecahbelahkan kita. Mari kita bawa perkara ini ke mesyuarat dan bincangkan dengan baik,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top