KOTA KINABALU: Hasrat Parti Warisan Malaysia (Warisan) membentuk kerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) bukanlah satu paksaan.
Namun, sekiranya kerjasama itu berjaya, ia akan mewujudkan satu gabungan parti tempatan yang kuat di peringkat akar umbi, kata Naib Ketua Wira Warisan, Mohd Fakhurrazi Aliuddin.
“Sekiranya PBS tidak mahu untuk bekerjasama maka, Warisan sememangnya telah menyatakan pendirian untuk bekerjasama dengan rakyat.
“Pada akhirnya yang menentukan siapa menjadi pemerintah adalah rakyat kerana rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang mereka mahukan untuk memerintah negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Naib Pemuda PBS, Shahrun Nidzam Sharom yang menyatakan kerjasama tersebut tidak menjadi paksaan kepada PBS.
Mohd Fakhurrazi berkata, kerjasama Parti Warisan Malaysia (Warisan) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan memberi kelebihan dan impak kepada negeri Sabah untuk terus menuntut hak-hak Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua parti tempatan itu mampu melindungi kepentingan negeri dan rakyat Sabah melalui MA63.
Sekiranya PBS sudi bekerjasama dengan Warisan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), ia satu langkah yang baik disebabkan kedua-dua parti merupakan parti tempatan dan mempunyai perjuangan yang konsisten bagi menuntut dan memperjuangkan hak-hak dan kepentingan negeri Sabah.
Beliau berkata, sudah sampai masanya rakyat Sabah perlu berani untuk membuat perubahan melalui parti tempatan (Warisan).
Jelas beliau, selagi Sabah dikuasai dan dipimpin oleh pemimpin-pemimpin parti dari Kuala Lumpur maka, wilayah Sabah tidak mampu berdiri di kaki sendiri.
Menurutnya, kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai kerjasama BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), ia jelas menunjukkan kerjasama itu hanya akan memberi kelebihan kepada BN sekali gus untuk meraih sokongan rakyat Sabah kepada BN. – Borneo Today