Tiada Kerjasama Dengan PKR, Anwar Nak Canang, Terpulanglah – Shahril

shahril.jpg
Kongsi Bersama

Umno masih berpegang pada ketetapan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PKR seperti mana yang diputuskan majlis pimpinan tertinggi parti itu, kata ketua penerangannya, Shahril Hamdan.

Justeru, menurutnya, terpulang kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk mencanangkan kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi politik dengan Umno.

“Keputusan dasar perhimpunan agung Umno 2019 masih terpakai dan kenyataan semua pemimpin tertinggi Umno berkali-kali menyebut tidak timbul kerjasama dengan PKR dan DAP.

“Menolak kerjasama dengan Bersatu tak bermaksud mesti terus bersama dengan orang lain.

“Hakikatnya, Majlis Tertinggi (MT) (Umno) belum pernah mengubah keputusan dasar PAU 2019 yang menolak kerjasama dengan PKR dan DAP,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Anwar mendakwa bahawa terdapat perbincangan tidak rasmi antara partinya dan Umno mengenai kemungkinan kerjasama untuk pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Anwar mengumumkan bahawa dia akan mengadakan sidang media hari ini pada pukul 4.30 petang di mana dia dijangka akan menyentuh isu tersebut.

Dia juga dijangka mengulas mengenai tindakan beberapa wakil rakyat PKR yang meninggalkan parti baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shahril berkata Umno tidak boleh menari dengan mengikut rentak orang lain.

Sebaliknya parti itu perlu memberi fokus pada pengukuhan dalamannya serta menarik sokongan rakyat kepada Umno.

“Jika Anwar masih mahu mencanang kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi politik dengan Umno, itu adalah hak beliau untuk bercakap sepertimana selama ini beliau tak henti-henti mengatakan bahawa beliau ada majoriti di Parlimen.

“Kita tidak perlu menari mengikut rentak orang lain sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan dalaman parti sendiri, di samping berusaha keras memenangi keyakinan rakyat.

“Matlamat parti tentunya untuk memenangi sokongan rakyat dengan tawaran dan visi yang lebih baik dari pesaing kita,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top