Tiada Kerajaan Persekutuan yang benar-benar hormati hak Sabah – Kiandee

Kiandee.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Isu hak Sabah terus mencetuskan perdebatan apabila Bersatu Sabah menyatakan dengan tegas bahawa tiada satu pun kerajaan Persekutuan yang benar-benar menghormati hak-hak negeri itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, menegaskan bahawa Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan sebanyak 40 peratus pendapatan Sabah perlu dikembalikan untuk tujuan pembangunan negeri. Namun, pelaksanaan peruntukan ini, katanya, diabaikan oleh kerajaan-kerajaan yang ada sehingga kini.

“Tiada Kerajaan Persekutuan yang mahu hormat perlembagaan Perkara 112, sebab itu bila saya dengar ucapan Tan Sri (Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin) , sentuh tentang Sabah adalah rakan kongsi bentuk Malaysia dan hak negeri di bawah MA63 akan dihormati sepenuhnya, saya kata itu tidak cukup.

“Kita mahu komitmen yang lebih jitu dari PN 2.0 terhadap MA63. saya mahu kerajaan hormati dan laksanakan MA63 melalui Perkara 112C, ini adalah perkara yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya dalam ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di IDCC Shah Alam, semalam.

Beliau turut menambah bahawa hanya kerajaan yang menghormati Perlembagaan dan MA63 mampu mengangkat hak Sabah, sekaligus membezakan PN daripada parti-parti lain.

Ronald juga menyeru akar umbi Bersatu supaya tidak hanya bergantung pada gelombang sokongan sementara untuk menang PRU.

“Macam mana nak menang kalau harap kepada gelombang? Kita akan jadi rumah tumpangan. Bila kalah di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai, PRK Mahkota kita katakan itu bukan kerusi kita, tetapi kerusi parti lawan.

“Tetapi kalah di PRK Nenggiri, apa alasan kita? Kerusi kita, calon kita, wakil rakyat parti kita tetapi kalah. Sebab itu bila kalah, tiada alasan lagi, sebab puncanya kita harapkan gelombang.,” katanya.

Beliau turut menegaskan perlunya strategi proaktif, seperti memperbanyakkan cawangan dan menarik ahli dari parti lain termasuk UMNO, PKR, dan DAP. Langkah ini, katanya, adalah kunci untuk menawan negeri-negeri seperti Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, dan Putrajaya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top