Tiada keperluan mendesak pindah lapangan terbang, kata KM Sabah

KKIA-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berpandangan tiada keperluan mendesak untuk memindahkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari ibu negeri Sabah.

“Untuk jangka masa panjang kita kena pindahkanlah tapi kalau untuk tujuh hingga 10 tahun masih boleh lagi di Kota Kinabalu ini,” katanya kepada FMT dalam temubual eksklusif.

Hajiji memaklumkan, belum ada keputusan dibuat tentang lokasi lapangan terbang baharu, dan kerajaan negeri belum terima laporan terperinci daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) berhubung perkara itu.

Pada Jun 2022, syarikat pelaburan milik kerajaan negeri, Qhazanah Sabah Bhd (QSB), dan pemaju hartanah, Berjaya Land Bhd tandatangan memorandum persefahaman untuk mengkaji pemindahan KKIA ke Kimanis, terletak kira-kira 60km di selatan Kota Kinabalu.

Menurut Borneo Post, suatu kajian kebolehlaksanaan dijalankan dan hasilnya diserahkan kepada Upen pada Julai tahun lalu. Pengerusi QSB, Yusof Yacob, dilapor berkata laporan itu dapat maklum balas positif.

Baru-baru ini, Dewan Perniagaan Cina Tuaran serta bekas menteri persekutuan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dilapor mencadangkan lapangan terbang baharu dibina di Tuaran, yang terletak kira-kira 33km di utara Kota Kinabalu.

Hajiji bagaimanapun berkata, Kimanis kelihatan pilihan lebih baik memandangkan kawasannya yang lapang dan rata, serta tidak banyak mengganggu perkampungan.

“Kita ada Lebuh Raya Pan Borneo dan laluan kereta api dari sana…ia cuma mengambil masa lebih kurang setengah jam atau 40 minit dari Kota Kinabalu,” katanya.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu berkata, beliau tidak tertarik pada cadangan memindahkan lapangan terbang ke Tuaran, kerana ia boleh mengganggu bukit-bukau dan pantai di situ.

Selaku ketua menteri, Hajiji mengingatkan beliau juga perlu ambil kira isu alam sekitar dan ekologi yang mungkin timbul di samping kesan sosioekonomi projek tersebut.

“Kita kena fikir panjang. Adakah lapangan terbang itu boleh merosakkan ekosistem kita? Kita tidak boleh pandang dari segi kemudahan perniagaan sahaja. Siapa yang dapat keuntungan atau apa,” katanya.

Hajiji juga menepis seruan memindahkan lapangan terbang untuk membolehkan pencakar langit dibina di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, Sabah mungkin tidak sangat perlukan bangunan tinggi memandangkan rantau ini terdedah kepada gempa bumi. Pada 2015, kira-kira 18 orang maut selepas gempa bumi sekuat 6.0 pada skala Richter melanda Ranau, kira-kira 106km dari Kota Kinabalu.

“Bangunan tinggi tidak perlu sangat. Sabah ini ada gempa bumi. Di Malaysia ini, Sabah yang ada,” katanya. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top