KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Maximus Ongkili berkata, kerajaan kekal dengan pendirian tiada keperluan untuk laporan akhir Jawatankuasa Khas Kabinet (JKKK) bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) didedahkan kepada umum.
Katanya, isi kandungan dan perbincangan dalam laporan akhir JKKK MA63 yang diwujudkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 5 Sept 2018 bersifat teknikal dan masih dalam proses rundingan antara kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak.
“JKKK MA63 bermesyuarat 5 kali iaitu pada 17 Dis 2018, diikuti pada 5 Mac 2019, 17 Mei 2019, 23 Julai 2019 dan mesyuarat terakhir pada 18 Nov 2019.
“Di bawah JKKK MA63, sebanyak 21 perkara atau tuntutan dikemukakan oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk dikaji, disemak serta dibincangkan namun sebahagian tuntutan dikemukakan ialah perkara yang sudah dibincang kerajaan terdahulu tetapi belum diselesaikan ketika itu.
“Daripada 21 tuntutan dikemukakan, sebanyak 17 perkara dibincangkan dan mendapat persetujuan bersama untuk diselesaikan secepat mungkin dan daripada 17 perkara berkenaan pula, sebanyak tiga perkara dianggap selesai sepenuhnya manakala baki 14 perkara memerlukan tindakan lanjut untuk dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 di peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Maximus berkata, daripada 21 tuntutan dalam JKKK MA63 itu juga, empat perkara masih belum diselesaikan dan memerlukan perbincangan berterusan termasuk mengenai royalti minyak serta pembayaran tunai petroleum.
Katanya, tiga lagi perkara belum selesai berkaitan mineral dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta750) serta hak negeri ke atas pelantar benua.
“Berhubung cadangan pindaan kepada Perkara 1 Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan, perkara ini masih belum diputuskan oleh majlis khas kerana masih terdapat beberapa perkara memerlukan penelitian luas terutama berkaitan implikasi daripada sudut perundangan sebelum sebarang keputusan mengenainya boleh dibuat,” katanya.
Beliau berkata, majlis khas itu ditubuhkan pada 16 September lalu bagi memantau tindakan terhadap perkara-perkara yang perlu diselesaikan.
“Majlis khas ini dianggotai perdana menteri, ketua menteri Sarawak, ketua menteri Sabah dan lapan menteri kerajaan persekutuan serta pegawai tertinggi persekutuan, kerajaan Sabah dan Sarawak.
“Majlis khas ini akan mengadakan mesyuarat pertama pada 30 November depan,” katanya.