PETALING JAYA: Tiada kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menerima sogokan daripada sindiket mencuri elektrik membabitkan perlombongan “bitcoin”, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Baharin Din.
Sebaliknya, beliau berkata, TNB bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan operasi sulit untuk memerangkap dan mendedahkan kegiatan sindiket itu.
Katanya, kekeliruan timbul mungkin disebabkan salah faham dan kesilapan laporan sebahagian media mengenainya yang kemudian tular di media sosial.
“Kami merujuk laporan akhbar berkaitan operasi bersama TNB dan SPRM bagi membanteras sindiket mencuri elektrik membabitkan perlombongan ‘bitcoin’.
“Hakikatnya, kaedah operasi sulit TNB bersama SPRM ini memerlukan intipan secara penyamaran (undercover) untuk memerangkap dan mendedahkan kegiatan sindiket ini.
“Tiada warga kerja TNB yang ditahan kerana disahkan tiada yang menerima habuan daripada anggota sindiket,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Baharin mengucapkan terima kasih kepada SPRM dan kakitangan TNB yang terlibat dalam operasi lebih dua tahun itu sehingga tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pihak terbabit.
Katanya, inisiatif bersama itu membuahkan hasil dengan tertangkapnya 18 individu melibatkan 7,209 kes sejak 2018.
“Operasi sulit itu juga telah membolehkan SPRM membekukan 126 akaun bank bernilai RM4.47 juta membabitkan 97 individu serta 29 syarikat.”
Daripada 18 dalang sindiket yang ditangkap itu, katanya, seorang daripadanya mempunyai 500 unit rumah kedai yang disewa untuk aktiviti perlombongan ‘bitcoin’ secara haram.
“Pengurusan TNB juga berbangga dengan integriti tinggi warga kerja TNB yang memaklumkan pengurusan mengenai pelbagai cubaan anggota sindiket menyogok pasukan mencegah kecurian elektrik TNB. Perkongsian tersebut membawa kepada operasi bersama SPRM.
“SPRM memerlukan masa untuk membina kes kukuh bagi mengesan dan memerangkap dalang serta ketua sindiket, bukan sekadar operator atau pekerjanya. Kejayaan operasi bersama SPRM dan TNB itulah yang diumumkan dalam media semalam,” katanya.- FMT