Tiada Hala Tuju Jelas Punca Ahli Parlimen Tak Sokong Presiden UMNO – Ismail Sabri

ismail-sabri-zahid.jpg
Kongsi Bersama

CYBERJAYA: Timbalan Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan kepimpinan UMNO tiada hala tuju jelas ketika membuat keputusan menarik diri dari kerajaan menyukarkan sebahagian besar Ahli Parlimen UMNO menyokong keputusan tersebut.

Ismail Sabri menulis mendedahkan perkara ini dalam perbualan kumpulan WhatsApp bahawa beliau dan rakan-rakan tidak tahu apa strategi UMNO dalam menjaga kepentingan negara dan rakyat.

“Dalam mesyuarat MKT UMNO lalu saya tanya jika semua Ahli Parlimen menarik diri apa perancangan seterusnya? Jika kerajaan tumbang apa untungnya kepada UMNO?,” tulis Ismail Sabri.

Ismail turut mendedahkan beliau ada bertanya bagaimana UMNO hendak membentuk kerajaan dengan hanya 42 kerusi.

“Kita hanya ada dua pakatan lain yang besar iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH). Jika hendak jadi kerajaan kita kena bergabung dengan salah satu. Kita tolak PH dan PN, jadi macam mana hendak membentuk kerajaan?”

Bagaimanapun, menurut Ismail Sabri, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak memberi sebarang jawapan yang meyakinkan.

“Jawapan Presiden…itu strategi..strategi tidak boleh bincang dalam mesyuarat.”

“Takkanlah saya Naib Presiden 1 tidak boleh tahu strategi parti? Takkanlah Majlis Tertinggi UMNO tidak boleh tahu hala tuju parti?”

Ismail Sabri menyifatkan Ahmad Zahid sebenarnya tiada hala tuju dan hanya hendak menumbangkan kerajaan sahaja.

“Actually tiada hala tuju..agenda nak tumbangkan kerajaan saja..cabut plug..lepas tu bergelap..tak sediakan lampu…so langgar dinding dalam gelap,” tulis Ismail lagi.

Menurut Ismail Sabri, tindakan menarik diri tanpa perancangan hanya merugikan parti kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat dan parti dilihat tidak mementingkan kesusahan rakyat.

“Kita tumbangkan kerajaan untuk cetuskan huru-hara sedangkan hal-hal Covid-19 sedang diuruskan oleh saya, Datuk Seri Hishammuddin, Khairy dan Dr Adham. Apa pandangan rakyat kepada kita jika bila tumbang kerajaan, negara jadi makin tidak stabil?,” tanya Ismail Sabri. –SUARA TV


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top