Tiada Ancaman Keselamatan Di Pantai Timur Sabah – Komander ESSCOM

hamzah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu yang menggugat keselamatan dan kedaulatan di negeri ini.

Utusan Malaysia melaporkan Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian tentang tahap keselamatan di Sabah terutama sekali semasa isu tuntutan terhadap Sabah hangat diperkatakan.

Walau bagaimanapun, pada masa ini tiada sebarang ancaman keselamatan yang dihadapi oleh pasukan keselamatan di Sabah.

“Keadaan pada masa ini sangat baik dan terkawal. Penugasan kita macam biasa, dari masa ke semasa kita akan memperkukuh dan pergiatkan kawalan keselamatan di pantai timur Sabah. Tiada isu tentang ancaman,” katanya kepada Utusan.

Mengulas lanjut katanya, sempena pembukaan sempadan negara, kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) akan terus dipertingkatkan.

“Kita sudah bersedia kerana kita faham kawasan pantai timur ini akan menjadi tumpuan pelancong seperti di Semporna dan Sandakan.

Untuk itu, kita sudah bersedia dengan isu-isu ini. Tahap keselamatan kita memang sangat terkawal,” katanya.

Pada 4 Mac lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, pihaknya akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan di kawasan perairan pantai timur Sabah susulan tuntuan bayaran RM62.59 bilion oleh waris Sultan Sulu.

Idris berkata, setakat ini tiada ancaman yang dikesan namun, apabila isu pampasan tersebut dibangkitkan dikhuatiri ia akan menimbulkan provokasi dalam kalangan pihak yang ingin menuntut Sabah.

“Situasi ini menaikkan semula semangat orang-orang yang berniat menuntut Sabah dan itu yang kita risau.

“Pada asalnya, isu ini sudah senyap dan sunyi jadi, apabila ditimbulkan semula, ia mewujudkan satu provokasi kepada orang yang berniat mengambil tindakan terhadap Sabah secara militan,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top